PETALING JAYA: Petronas menjangkakan ketidaktentuan pasaran tenaga akan berterusan dan ia memerlukan pemain industri untuk tangkas dalam bertindak balas terhadap perubahan landskap tenaga dan menerima inovasi serta penyelesaian baharu ke arah masa depan rendah karbon.
Menurut laporan Tinjauan Aktiviti Petronas 2023-2025, prospek Petronas kekal positif untuk pelantar penggerudian, aktiviti perkhidmatan telaga dan perkhidmatan bawah air.
Katanya, ini disebabkan oleh aktiviti pembaikan dan penyelenggaraan yang diperlukan untuk mengekalkan integriti kemudahan luar pesisir.
“Prospek untuk kemudahan dasar laut, bekalan saluran paip dan tongkang angkat berat kekal stabil memandangkan jumlah projek yang memerlukan platform kepala telaga,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Sementara itu, Naib Presiden Perolehan Kumpulan Petronas, Freida Amat berkata, kerjasama merentas industri adalah penting tatkala industri tenaga bergerak ke arah memudahkan peralihan tenaga yang adil.
Katanya, Petronas komited untuk bekerjasama dengan rakan kongsinya sejajar dengan industri mempercepatkan usaha untuk menyahkarbonkan operasi sebagai sebahagian daripada peralihan tenaga yang lebih luas.
“Peralihan kepada tenaga bersih perlu berlaku sekarang, untuk memenuhi landskap tenaga yang berubah-ubah yang diunjurkan menjelang 2050 yang memerlukan kerjasama yang lebih besar dalam kalangan industri.
“Ini bagi menuju ke arah mencipta penyelesaian yang cekap untuk pengurusan kos yang lebih baik, mengutamakan pelanggan yang lebih tinggi, penciptaan nilai dan penyelesaian yang inovatif,” ujarnya.
Laporan tersebut juga menyentuh visi dan strategi Dasar Tenaga Negara 2022-2040 (DTN) untuk memacu penembusan tenaga boleh diperbaharui yang lebih besar.
Ini termasuk mengoptimumkan campuran penjanaan kuasa, pemfaktoran dalam kemajuan teknologi yang pesat, melaksanakan pemboleh fizikal dan pengawalseliaan untuk menampung kemajuan sistem kuasa serta meningkatkan kesalinghubungan sistem grid serantau dan antarabangsa.
Laporan Tinjauan Aktiviti Petronas 2023-2025, memberikan pandangan tentang arah aliran industri, prospek permintaan dan ramalan aktiviti untuk tiga tahun akan datang untuk memastikan industri mengikuti rancangannya yang akan datang. – UTUSAN











