Lebih 3,000 batal tempahan perkhemahan

Tragedi tanah runtuh: Lebih 3,000 batal tempahan perkhemahan

TRAGEDI runtuhan tanah di Jalan Batang Kali-Genting Highlands di Hulu Selangor menjejaskan operasi Sojuk Riverside yang terletak berdekatan lokasi itu selepas pelanggan membatalkan tempahan tapak perkhemahan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengusaha tapak perkhemahan, Sojuk Riverside di Batang Kali, Hulu Selangor mendakwa mengalami kerugian besar selepas lebih 3,000 pelanggannya membatalkan tempahan berikutan tragedi tanah runtuh yang berlaku di kawasan itu awal pagi Jumaat lalu.

Nur Roslinda Mohd. Yusuf berkata, pembatalan yang dibuat kali ini lebih banyak dan drastik berbanding ketika pandemik Covid-19 terdahulu.

Katanya, hal itu bagaimanapun adalah perkara biasa dalam industri berkenaan dan pengusaha pelancongan sepertinya sudah bersedia dengan keadaan tersebut.

“Kami sedia maklum risiko dihadapi kerana perniagaan yang diusahakan ini melibatkan alam semula jadi. Maka kami selalu berwaspada tentang keadaan cuaca walaupun tiada sebarang amaran atau petanda yang dikeluarkan pihak berkuasa.

“Kita pun tutup buat sementara atas arahan kerajaan tetapi buat masa sekarang memang tidak boleh beroperasi kerana bomba pun sedang lakukan operasi pencarian.
Air lumpur itu mengalir ke sungai-sungai dan kawasan kami pun turut terjejas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Roslinda berkata, tapak perkhemahannya di Kampung Kuantan, Jalan Batang Kali-Genting Highlands pula terletak tidak jauh dari lokasi kejadian tanah runtuh, Father’s Organic Farm.

Katanya, setakat ini, seramai 1,200 pelanggan sudah dibayar balik wang tempahan mereka kerana membatalkan penginapan manakala sebahagiannya mengubah kepada tarikh yang lebih bersesuaian.

Tambahnya, pihaknya turut bekerjasama dengan beberapa pengusaha pelancongan lain dan Orang Asli yang tinggal di sekitar kawasan berdekatan yang membantu dan memberitahu perkembangan jika terdapat perubahan cuaca.

“Kadangkala, cuaca panas dekat bawah tetapi bahagian atas bukit sudah hujan. Perkara sekecil itu pun kami ambil serius kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku selepas itu.

“Kawasan Sojuk Riverside ini pula terletak di bukit dan berdekatan dengan Genting Highlands,” katanya.

Menurutnya, bagi memastikan keselamatan pengunjung sentiasa terjamin, pihak pengurusannya membuat tinjauan dan berada di tempat berisiko bagi memastikan tiada sebarang kemalangan berlaku.

Sementara itu, pengusaha tapak perkhemahan Kamar Aishah, Mohd. Rozi Ayub berkata, walaupun terkesan dengan arahan penutupan dikeluarkan kerajaan, perniagaannya tidak mengalami kerugian yang terlalu banyak kerana mengambil langkah awal sebelum ini.

Katanya, insiden bencana alam kerap berlaku, oleh itu mereka mengambil langkah dengan mengehadkan pengambilan tempahan tapak perkhemahan daripada pengunjung terutama pada akhir tahun berikutan ia juga adalah musim tengkujuh.

“Sejujurnya memang ada kerugian, tetapi kami tidak terkesan terlalu banyak berbanding dengan pengusaha lain kerana mereka selalunya ambil sahaja tempahan yang masuk tanpa mengira risiko yang akan berlaku.

“Ada sahaja yang membatalkan tempahan, tetapi kebanyakan pengunjung di sini sudah tahu struktur geografi Kamar Aishah. Daripada membatalkan tempahan begitu sahaja, mereka tukar ke tarikh yang lebih bersesuaian,” jelasnya.

Katanya lagi, jika terdapat amaran cuaca dikeluarkan oleh pihak berkuasa, mereka juga kadangkala akan menutup tapak perkhemahan untuk beberapa bulan sebelum, bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×