PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul mengesahkan perletakan jawatan beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun mempunyai kaitan dengan pencalonannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini.
Johari ketika dihubungi Utusan Malaysia memaklumkan, beliau merupakan salah seorang daripada dua calon Yang Dipertua Dewan Rakyat selain bekas Ahli Parlimen Kangar, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad yang mewakili blok pembangkang.
Menurut Johari, perletakan jawatannya sebagai ADUN Gurun selaras dengan kehendak Perlembagaan.
“Saya dapat makluman saya di antara dua calon (Speaker Dewan Rakyat) dan esok akan ada pengundian.
“Dalam perlembagaan, saya wajib letak jawatan selaras dengan kehendak perlembagaan,” jawabnya ringkas.
Ditanya mengenai harapan beliau jika dipilih sebagai Speaker Dewan Rakyat hari ini, Johari sempat bergurau dengan mengatakan agar beliau memperoleh kemenangan pada sesi pemilihan esok.
“Harapan saya, bila sudah letak jawatan (ADUN Gurun dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah) dapatlah menang.
“Insya-Allah, saya sudah bersedia kerana yang memilih di kalangan wakil rakyat,” katanya.
Johari juga memaklumkan sekiranya dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat, beliau akan meneruskan serta menambah baik transformasi Parlimen yang dimulakan oleh Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof dan Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
“Saya juga akan melangsungkan kerja-kerja baik yang dibuat Speaker Dewan Rakyat terdahulu antaranya Tan Sri Ariff dan Tan Sri Pandikar.
“Mereka memulakan transformasi di Parlimen dan banyak dilaksanakan, jadi saya sewajibnya meneruskan kerja baik mereka dan menambah baik apa yang boleh saya sumbangkan,” katanya.
Semalam Johari mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai ADUN Gurun dan Ketua Pembangkang DUN Kedah selain mengesahkan beliau telah mengutus sepucuk surat kepada Speaker DUN, Datuk Juhari Bulat berhubung perkara itu.
Johari berkata, inti pati surat itu menjelaskan beliau memaklumkan kepada Speaker DUN Kedah bahawa kerusi DUN Gurun disandangnya sebelum ini dikosongkan berkuat kuasa serta-merta pada tarikh surat itu dihantar. – UTUSAN










