Hanya blok politik mampu jatuhkan kerajaan

Hanya blok politik mampu jatuhkan kerajaan

KERATAN laporan Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan perpaduan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sukar digugat dan mampu bertahan sehingga habis penggal.

Kerajaan hanya boleh tumbang sekiranya blok-blok parti politik terbabit menarik sokongan terhadap Anwar dan sama sekali tidak terkesan sekiranya hanya wakil rakyat yang bertindak menarik sokongan tersebut.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Sivamurugan Pandian berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti sememangnya secara jelas terpakai kepada wakil rakyat secara individu namun blok parti politik masih boleh menarik sokongan terhadap sesebuah kerajaan.

8

“Jadi katakanlah ada 10 orang wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan, ia masih tidak mengganggu kedudukan Anwar melainkan jika membabitkan satu blok parti politik dan disusuli blok parti lain,” katanya.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, lima gabungan parti politik memeterai permuafakatan dan perjanjian persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Antara isi kandungan perjanjian tersebut adalah wakil rakyat terlibat perlu mengundi dan menyokong setiap usul percaya dan rang undang-undang perbekalan atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Sivamurugan berkata, beliau melihat matlamat asas MoU berkenaan adalah bertujuan mempertahan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Selain itu, Kerajaan Perpaduan cuba memberikan kestabilan politik menerusi MoU ini walaupun berbeza ideologi dan fahaman politik dalam kalangan wakil rakyat yang memberi sokongan,” katanya.

Tambah beliau, MoU itu juga adalah peringatan kepada wakil rakyat agar lebih berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan kerana mereka masih terikat dengan perjanjian berkenaan.

“Langkah bagi mengekalkan Anwar sebagai Perdana Menteri juga dilihat dapat membolehkan semua perancangan dasar dilaksanakan bagi merancakkan ekonomi negara di samping melihat semua Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Rusdi Omar pula berkata, selepas Kabinet terbentuk dengan Menteri dan Timbalan Menteri daripada pelbagai parti itu sudah dilantik, sememangnya mustahil untuk mereka tidak memberi sokongan kepada Anwar.

“Sebaik-baiknya bagi peluang kepada Anwar memimpin negara untuk penggal ini dan jika tidak berpuas hati dengan prestasi beliau tukarlah pada pilihan raya akan datang,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×