PETALING JAYA: Timbalan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Liew Chin Tong menegaskan, Kesatuan Eropah (EU) sebagai salah satu blok utama ekonomi dunia, perlu mendekati ASEAN dengan lebih rapat kerana rantau itu menyediakan peluang pasaran yang luas.
Beliau berkata, jurang antara EU dan ASEAN boleh dirapatkan melalui sokongan dalam bentuk pendanaan, pemindahan teknologi dan program-program pembinaan kapasiti.
“Kedua-dua rantau juga perlu merapatkan hubungan dalam bidang-bidang kerjasama utama bagi memastikan pulangan nilai tambah yang tinggi yang dapat memberi faedah kepada rakyat negara-negara ASEAN dan EU,” katanya.
Beliau turut berharap ASEAN dan EU akan bekerjasama rapat bagi mewujudkan masyarakat kelas pertengahan yang kukuh di semua negara ASEAN.
Liew menyatakan perkara itu sewaktu menyertai Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-EU Ke-10 di Brussles yang berakhir 13 Disember lalu, dan kenyataan beliau itu dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), hari ini.
Sewaktu sidang kemuncak itu, beliau turut menyertai perbincangan C-Suite Luncheon bersama Menteri Luar, Senator Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-EU Ke-45 bagi mewakili Perdana Menteri.
Liew turut menyertai sesi Fireside Chat bersama Naib Presiden Eksekutif serta Pesuruhjaya Perdagangan Suruhanjaya Eropah, Valdis Dombrovskis. Dalam sesi yang dikendalikan oleh Ahli Lembaga Eksekutif EU-ABC, Noel Clehane, Liew dan Dombrovskis bertukar-tukar pandangan tentang pengukuhan hubungan perdagangan dan pelaburan ASEAN-EU.
Beliau juga hadir dalam upacara menandatangani Perjanjian Perkongsian dan Kerjasama Malaysia-EU (MEUPCA) bersama Zambry.
MEUPCA dijangka dapat membuka jalan bagi menghidupkan semula rundingan perdagangan dua hala di antara Malaysia dan EU yang telah tergendala sejak 2012.
Sidang kemuncak itu dianjurkan oleh Majlis Perniagaan EU-ASEAN untuk terus merapatkan hubungan perdagangan dan pelaburan yang sememangnya kukuh di antara kedua-dua blok.
Ia merupakan platform kepada pemimpin politik, peneraju perniagaan dan pegawai kerajaan daripada EU dan ASEAN untuk berbincang serta bertukar-tukar pandangan tentang tema sidang, iaitu Meningkatkan Perdagangan ASEAN-EU: Pembangunan
Lestari Untuk Semua. – UTUSAN










