PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyerahkan sumbangan berjumlah RM200,000.00 kepada Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) bagi membantu pelaksanaan Hakam di negeri itu.
Majlis penyerahan simbolik replika cek MAIS disampaikan oleh Timbalan Setiausaha (Operasi) MAIS, Nurhani Salwa Jamaluddin kepada Ketua Hakim Syarie, Yang Amat Arif, Datuk Mohammad Adib Husain.
Nurhani Salwa berkata, sumbangan yang menggunakan peruntukan baitulmal itu untuk menampung segala kos yang bersangkutan dengan pelaksanaan fungsi, elaun dan tadbir urus Hakam Negeri Selangor.
Katanya, Jawatankuasa Hakam Negeri Selangor telah ditubuhkan oleh MAIS berdasarkan kepada Kaedah 21, Kaedah-Kaedah Hakam Negeri Selangor.
“Antara fungsi Jawatankuasa ini adalah mencadangkan pelantikan anggota Panel Hakam yang bertanggungjawab menamatkan syiqaq (perselisihan) antara suami dan isteri dengan cara mendamaikan atau memisahkan kedua-duanya.
“Jawatankuasa ini juga bertanggungjawab menasihati MAIS dalam menentukan perkara berkaitan pelaksanaan hakam yang dilaksanakan menurut Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2004,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, seramai 62 orang anggota Panel Hakam Selangor sejak 2015 sehingga 2022 telah dilantik oleh MAIS dan anggota panel tersebut telah menjalankan tugas mereka sebagai Hakam bagi mengendalikan kes-kes perceraian dan pembubaran perkahwinan di Mahkamah Rendah Syariah Selangor.
“Secara keseluruhan, MAIS telah menyumbang sebanyak RM700,000.00 pada tahun ini bagi membantu pelaksanaan Hakam Negeri Selangor.
“MAIS berharap agar sumbangan ini dapat membantu pelaksanaan Hakam khususnya di negeri Selangor bagi memastikan fungsi dan jawatankuasa tersebut dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya. – UTUSAN










