PETALING JAYA: UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) telah dianugerahkan sebagai Syarikat Pengurusan Fasiliti Terbaik Frost & Sullivan Malaysia 2022 atas sumbangannya kepada sektor pengurusan fasiliti.
Anugerah kali ke-7 berturut-turut ini meletakkan UEM Edgenta sebagai peneraju pasaran dan peneraju dalam sektor pengurusan fasiliti melalui keupayaannya dalam perkhidmatan pengurusan kemudahan bersepadu, kemajuan teknologi dan pendigitalan serta penyelesaian mampan.
Anugerah tersebut disampaikan kepada Ketua Pegawai Strategi UEM Edgenta, Rais Imran pada majlis Anugerah Amalan Terbaik Frost & Sullivan 2022 baru-baru ini.
Syarikat itu merupakan perintis dalam memperkenalkan penyelesaian kemampanan dan teknologi kepada pasaran pengurusan kemudahan serantau dan teluk (FM).
Rais berkata, masa hadapan FM adalah didorong oleh teknologi, kemampanan dan pengalaman pelanggan.
“Pemilik dan pengendali aset di seluruh dunia kini kian menjadikan bangunan dan bandar ke arah pintar dan mampan. Untuk tujuan ini, Edgenta komited membina portfolio penyelesaian bagi memenuhi bangunan/bandar pintar dan mampan-strategi utama untuk menjadi syarikat FM yang berdaya teknologi.
“Dalam usaha kami untuk menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan terbaik yang didorong oleh teknologi dan inovasi, penerimaan anugerah ini menunjukkan keupayaan UEM Edgenta sebagai penyedia Pengurusan Aset & Penyelesaian Infrastruktur yang terkemuka di rantau ini.
“Kami amat berbesar hati dan berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan kami dan pihak Frost & Sullivan atas penganugerahan ini,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengurus Program, Penyelidikan Bangunan Frost & Sullivan, Janice Wung berkata, penyelidikan Frost & Sullivan menunjukkan bahawa kedudukan pasaran utama dan cadangan nilai UEM Edgenta yang disusun strateginya dengan baik, telah membawa kepada pemerolehan pelanggan baharu yang konsisten sambil memastikan syarikat kekal di barisan hadapan dalam pelan digitalisasi dan kemampanan perniagaannya.
“Syarikat berjaya mengekalkan kedudukan di barisan hadapan dalam perkembangan pasaran domestik dengan menyusun strategi melalui kepelbagaian risiko dan penerokaan terhadap pasaran pertumbuhan baharu, mengukuhkan kedudukan
kepimpinannya di negara ini selain mewujudkan halangan sengit untuk kemasukan bagi pesaing baharu,” katanya. – UTUSAN










