PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Bhd. (Northport), ahli Kumpulan MMC mencatatkan rekod baharu untuk segmen perniagaan kargo konvensionalnya setelah melepasi 10 juta Freight Weight Tonnes (FWT) kendalian kargo.
Ia merupakan pencapaian tertinggi dalam setahun sejak pembentukan Northport melalui penggabungan Klang Container Terminal (KCT) dan Klang Port Management (KPM) pada 2000.
Rekod baharu tersebut dicapai melalui pemunggahan kargo gegelung keluli dari kapal konvensional, MV Great Agility di Dermaga 21, Northport.
Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, tahun ini adalah satu lagi tahun yang gemilang buat Northport.
“Dengan pelbagai pencapaian dan pengiktirafan yang diterima di peringkat tempatan dan antarabangsa, kami mengakhiri tahun ini dengan prestasi pecah rekod untuk segmen perniagaan kargo konvensional kami.
“Prestasi pecah rekod berturut-turut ini adalah bukti keupayaan kami untuk terus meningkatkan produktiviti dan mengembangkan semua segmen perniagaan Northport, di tengah-tengah cabaran perniagaan yang telah mengganggu rantaian bekalan global dan telah menjejaskan pelabuhan di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan.
Pencapaian pecah rekod untuk kargo konvensional Northport disumbangkan oleh pertumbuhan ketara dalam segmen Roll-on Roll-off (RoRo) dan pertumbuhan berterusan Hab Logistik Biomass di Southpoint.
Sehingga akhir November 2022, segmen RoRo mencatatkan pertumbuhan dua angka yang ketara sebanyak 76 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, didorong insentif cukai kerajaan ke atas pembelian kenderaan.
Sementara itu, pengendalian kargo biomass di terminal pelabuhan Northport yang berusia 121 tahun iaitu Southpoint juga telah menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 61 peratus berbanding tempoh sama pada 2021.
Pada Mei 2022, Northport telah merekodkan pengendalian bulanan tertinggi berjumlah 1,078,538 FWT untuk segmen perniagaan kargo konvensionalnya, mengatasi rekod sebelumnya iaitu 1,017,332 FWT yang dicatat pada Mei 2021.
Kejayaan itu dicapai di atas satu lagi pencapaian menerusi rekod pengendalian 47,246 FWT kargo gegelung keluli daripada kapal kargo konvensional, MV Wu Yi Hai pada 24 Mei 2022, iaitu kendalian tertinggi daripada sebuah kapal, mengatasi rekod sebelumnya iaitu 38,000 FWT yang dikendalikan pada 2019.
Tahun lalu, Northport telah mengakhiri 2021 dengan prestasi pecah rekod yang cemerlang setelah berjaya mengendalikan kontena sebanyak 3,324,364 TEU (Unit Bersamaan Dua Puluh Kaki), iaitu kendalian kontena tahunan tertinggi di dalam sejarah Northport. – UTUSAN










