MINGGU lalu, terdapat satu kenyataan akhbar yang agak mendebarkan. Ia mendakwa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) terkait dengan apa dipetik sebagai politik ‘pembohongan, ketakutan, kebencian, perkauman dan agama.’ Dan dikatakan sebagai ‘ancaman’ kepada demokrasi selepas sekian lama.
Besar kemungkinan ramai akan bersetuju dengan pandangan ini, apatah lagi datangnya daripada seorang kaki politik yang telah melalui pelbagai ‘ancaman’ termasuk menjadi mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa sebagai ‘pengancam’ pada masa itu. Keabsahannya oleh itu boleh dipertikaikan.
Pun begitu, ramai juga akan merasakan hal yang tiba-tiba diungkit bukannya satu perkara baharu di mana ‘perkauman’, hatta perihal ‘kebencian’ dan ‘ketakutan’ sudah lama menjadi rencah politik tanah air.
Tragedi 13 Mei adalah kemuncak bukti paling jelas berlakunya ancaman kepada negara apabila kerajaan digantung berikutan PRU yang membawa kepada rusuhan kaum terburuk dalam sejarah negara sehingga hari ini. Gelagat politik perkauman melampaui batasan demokrasi bertamadun. Anehnya, pihak yang terlibat pada ketika itu masih terlibat dengan PRU kali ini dengan aktifnya. Tiada beza.
Namun demikian perlu ditanya, “Berapa ramaikah ahli politik hari ini boleh menumpukan sepenuh masa mereka berkhidmat untuk masyarakat?” Seperti anjuran Tan Sri Lee Lam Thye, satu-satu manusia politik yang lain daripada yang ada. Banyak berkorban untuk rakyat, bukan diri sendiri atau parti.
Jadi, apa hendak hairan jika ada dalam kalangan mereka yang tidak mengambil iktibar sepenuhnya daripada pengalaman 13 Mei, terutama parti dan politikus yang turut menanggung beban dalam pencetusan peristiwa tersebut.
Golongan muda mungkin dapat dikecualikan, tetapi tidak begitu bagi pemain yang lebih tua (dan harus lebih matang) yang sewajarnya sudah pun cukup insaf serta bertaubat. Malangnya, ramai dalam kalangan mereka masih tidak sedarkan diri dalam memperagakan agenda masing-masing bersalut ‘pembohongan’ seperti yang ditohmahkan.
Maka tidak mengejutkan apabila terdengar kenyataan sumbang yang sudah terang lagi bersuluh, menuding jari ke sana dan ke mari seolah-olah pihaknya sahaja semua betul belaka. Satu cubaan pembohongan untuk mengaburi mata rakyat agar memenangi kerusi dalam pengubahan kerajaan baharu.
KERUSI EMPUK
Perihal ini terbukti melibatkan hampir semua pihak. Yang memeranjatkan adalah masih ada pihak bergelumang bukan sahaja dengan ‘pembohongan, ketakutan, kebencian, perkauman dan agama’, malah banyak lagi – keangkuhan (yakni, aku sahaja yang betul) serta kepura-puraan dalam menghalalkan matlamat curiga.
Terlalu banyak kata-kata, janji dan prinsip yang dihamburkan terpaksa dijilat semula tanpa segan silu. Tanpa malu alah. Yang pantang sebelum dan semasa PRU, berubah sekali mata menjadi boleh pasca PRU15.
Yang kalah dan ditolak rakyat bulat-bulat, dimenangkan dan diberi kerusi empuk. Yang berkelayakan dan berpengalaman, diketepikan oleh yang dangkal dan cetek. Yang terpalit dengan beraneka maksiat, dimuliakan atas jawatan beramanah tinggi. Yang menang sedikit, diberi habuan berlebihan, yang menang banyak, menelan air liur dan menggigit jari. Semua ini menyalur kepada politik berdolak-dalik meniti ‘pembohongan’ melewati apa yang telah diungkapkan sewenang-wenangnya semasa berkempen. Tetapi bukan tersasar kepada mana-mana satu parti, malah sekaliannya termasuk parti si jurucakap kenyataan tersebut.
Kerana apa? Ya, ketakutan, hilang kuasa juga kebencian, atas asas politik perkauman yang sudah menebal serta kejelekan agama sebab enggan mendaulatkan perlembagaan negara secara luhur.
Ringkasnya bagi kesemua mereka, apa sahaja boleh dilakukan asalkan matlamat terdekat tercapai. Tidak kira mengikut pintu mana. Jika kerajaan dahulu diejek kerana mengikuti pintu belakang, kali ini beberapa individu yang masuk pintu yang sama diraikan pula. Ternyata ugutan akan ancaman demokrasi masa hadapan ada muslihat sendiri.
Jika kononnya dikhuatiri ‘gelombang hijau’ membawa kepada sebuah negara Islam dalam masa sedekad dari sekarang, kita juga wajar sangsi akan ‘gelombang merah’ yang membawa fahaman komunis ala Maoisme.
Malah lebih-lebih lagi mengambil kira peristiwa ngeri Bintang Tiga yang negara pernah alami walaupun seketika tetapi berbisa.
Diandaikan yang hijau mungkin bersimbolkan ‘bulan purnama’, yang satu lagi berwarna merah mungkin bersimbolkan roket menghala untuk ke destinasi yang sama. Adakah ini secara kebetulan satu pembohongan juga?
Mahu tidak mahu, kesemua yang telah dan sedang berlaku mencerminkan kepalsuan politik induk kepada segala pembohongan yang diserba bolehkan bak bait-bait pantun berikut, siakap, senohong, gelama ikan duri, angkara politik pembohong; negara tercinta akan diliaknati. Adakah ini kehendak rakyat? Fikirkanlah. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











