PETALING JAYA: Syarikat kejuruteraan Malaysia, Austral Techsmith telah meterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat infrastruktur telekomunikasi Norway, GSM Towers untuk memperluaskan perniagaan di peringkat global dengan memanfaatkan pasaran infrastruktur 5G baharu.
Rakan kerjasama baharu itu akan memanfaatkan kepakaran dan pengalaman masing-masing untuk membina asas perniagaan yang kukuh dan seterusnya menembusi pasaran infrastruktur 5G baharu.
Usaha itu akan memberi fokus kepada pengembangan teknologi tiang pintar 5G milik Austral Techsmith, ELAB01 ke pasaran global.
ELAB01 ialah inovasi ‘semua-dalam-satu’ tiang pintar untuk pelaksanaan teknologi 5G di atas tanah menggunakan tiang tunggal berukuran 18 meter yang boleh menempatkan pelbagai sambungan dan penyelesaian internet kebendaan (IoT) seperti 5G, 4G, penghala wifi, unit kuasa serta lampu jalan pintar.
Menandatangani mewakili syarikat masing-masing adalah Ketua Pegawai Eksekutif GSM Towers, Christian Stromme dan Ketua Pegawai Operasi Austral Techsmith, Soh Chong Meng sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Austral Techsmith, Azfar Zubri Datu Safri.
Menurut Precedence Research, saiz pasaran 5G IoT global dianggarkan bernilai kira-kira AS$297.1 bilion menjelang 2030 dan berkembang pada Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR) berdaftar sebanyak 70.04 peratus dari 2022 hingga 2030.
Azfar Zubri berkata, 5G dan teknologi yang berkaitan dengannya mempunyai banyak potensi menarik yang boleh membuka pembangunan baharu untuk pelbagai sektor ekonomi dan terbukti menjadi pengubah permainan dalam transformasi industri.
“Itu menjadikan 5G global sebagai pasaran yang mempunyai peluang besar dan masih belum diterokai sepenuhnya.
“Austral Techsmith akan menyambung semula pembangunan penyelesaian ELAB01 di Norway melalui satu konsortium yang ditubuhkan.
“Kami bersama-sama mengeluarkan produk baharu di bawah platform infrastruktur 5G dikenali sebagai ELAB02, iaitu tiang pintar berbilang penyewa yang akan sedia memasuki pasaran sebelum akhir tahun.
“Selepas ini, terdapat lebih banyak perkembangan pada pelan hala tuju syarikat dalam mengembangkan barisan produk sambungan hiper pada suku pertama 2023,” katanya dalam kenyataan.
Perjanjian itu akan membolehkan kelancaran pergerakan produk ultra-ketersambungan baharu dari Malaysia memasuki pasaran global.
Perbincangan untuk penjualan produk Austral Techsmith dalam pasaran teras GSM Tower sedang dijalankan dengan sasaran utama masa kini adalah memasuki pasaran Filipina melalui Phil-Tower Consortium Inc., penyedia infrastruktur perkongsian digital terkemuka di negara tersebut.
Tambah Azfar Zubri, kerjasama dengan GSM Towers adalah langkah penting ke hadapan ketika kami memulakan rancangan pengembangan secara berganding bahu dengan rakan perniagaan.
Ujarnya, Phil-Tower akan menerajui pemasangan ELAB01 di Filipina, sementara kami berusaha menyiapkan pemasangan untuk lapan tapak perintis Kumpulan pertama yang dijangka siap antara Januari dan Februari 2023.
Sementara itu, Christian Stromme berkata, kerjasama itu adalah bukti kecemerlangan GSM Towers dalam menyambung rumusan rangkaian melalui kecekapan teras dan kelebihan daya saing yang telah diusahakan dan menjadi kebanggaan.
“Kepercayaan dan visi bersama kami adalah untuk meningkatkan infrastruktur 5G dengan menjadikan pelaksanaannya begitu mudah melalui perkongsian sinergi ini. Sejak memulakan kerjasama, Austral Techsmith telah mempamerkan kecekapan industri yang luas dan jauh melebihi jangkaan.
“Rantaian bekalan global kami akan membolehkan pelaksanaan penyelesaian 5G yang lancar ke semua pasaran seluruh dunia. Kami tidak sabar untuk menyatukan penyelesaian kami dan memperkukuh keupayaan 5G terbaru untuk memperkasakan dunia yang lebih berhubung,” katanya. – UTUSAN










