PETALING JAYA: Cagamas Berhad (Cagamas), perbadanan gadai janji nasional telah mengumumkan ketersediaan produk gadai janji berbaliknya iaitu Skim Saraan Bercagar (SSB) dan Skim Saraan Bercagar Islamik (SSB-i), kepada pemilik rumah warga emas di Ipoh, Seremban dan Bandaraya Melaka mulai 13 Disember 2022.
Perluasan itu berlaku selepas Pulau Pinang dan Johor Bahru pada Oktober tahun ini dan ia sejajar dengan rancangan syarikat untuk memperkenalkan gadai janji berbalik ke bandar-bandar lain di Malaysia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Datuk Chung Chee Leong berkata, perluasan bagi SSB dan SSB-i ke bandar-bandar lain di Malaysia adalah sebahagian daripada rancangan Cagamas untuk memberikan pemilik rumah warga emas lebih akses kepada aliran pendapatan tambahan sepanjang hayat untuk sara hidup harian tanpa mengorbankan pemilikan rumah.
“Kami berharap untuk memasukkan lebih banyak bandar dalam beberapa bulan akan datang selepas melengkapkan penilaian permintaan produk kami.
“Kami berbesar hati untuk meneruskan kerjasama kami dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Agensi Kaunseling Kredit dan Pengurusan Hutang (AKPK) sebagai rakan kongsi strategik,” katanya dalam kenyataan.
Pemohon yang berminat boleh datang ke cawangan KWSP yang dinyatakan dalam laman web SSB (https://ssb.cagamas.com.my/contact-us) untuk pertanyaan kelayakan, dan menjadualkan temu janji nasihat dengan AKPK untuk melengkapkan modul nasihat kewangan gadai janji terbalik.
Selepas itu, pemohon boleh memuat turun borang permohonan dari laman web SSB Cagamas di https://ssb.cagamas.com.my/how-to-apply dan serahkan kepada Cagamas melalui pos atau serahkan permohonan dalam talian melalui https://digitalssb.cagamas.com.my/main-page. – UTUSAN









