PETALING JAYA: Tindakan 18 wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah keluar parti menimbulkan persoalan terhadap kedudukan empat ahli Parlimennya sama ada mereka telah keluar parti dan perlu mengosongkan kerusi atau sebaliknya.
Meskipun bertanding di atas tiket GRS, empat ahli Parlimen berkenaan sebelum ini adalah ahli Bersatu Sabah dan mengambil keputusan keluar parti namun kekal sebagai anggota GRS.
Berdasarkan Perkara 49A (1) Perlembagaan Persekutuan, kekosongan berlaku jika melepaskan keanggotaan parti politik atau tidak lagi menjadi anggota parti politik itu dan bermakna di bawah undang-undang anti lompat parti, seorang ahli Parlimen kehilangan kerusi jika mereka keluar daripada parti mereka.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, taksiran undang-undang anti lompat berkenaan perlu diperjelas berhubung keahlian wakil rakyat itu sama ada membabitkan parti atau gabungan tersebut.
Justeru kata beliau, persoalan dibangkitkan adalah membabitkan keanggotaan ahli Parlimen berkenaan sama ada mengambil kira daripada Bersatu Sabah ataupun GRS sendiri.
“Apakah keempat-empat ahli Parlimen ini telah keluar Bersatu? Tetapi pada masa sama, mereka menganggotai dan bertanding atas logo GRS. Jadi mahkamah perlu menjelaskan isu ini sekiranya ada pihak mempertikai berhubung status ahli Parlimen terlibat.
“Namun saya berpandangan, ia tidak menjadi isu asalkan mereka masih dalam gabungan sama dan bukannya menyertai parti lain. Hal ini kerana prinsip undang-undang lompat parti bertujuan menghalang wakil rakyat mengkhianati mandat rakyat, tetapi dalam soal ini mandat diberikan kepada GRS,” katanya.
Pada PRU15 lalu, terdapat empat Parlimen Bersatu Sabah menang namun mereka menggunakan atas tiket GRS dan dua daripada mereka iaitu Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) manakala Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.
Dalam pada itu, pakar Perlembagaan, Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, Yang Dipertua Dewan Rakyat perlu menentukan berlaku kekosongan dan memberitahu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kekosongan luar jangka berkenaan.
“Speaker yang akan menentukan penafsiran tentang status ahli Dewan Rakyat sebab ada kesamaran, melainkan ada pihak yang membawa ke mahkamah,” jelasnya,
Bagaimanapun katanya, undang-undang lompat parti tidak terpakai membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerana Sabah belum menggubal enakmen mengekang wakil rakyat menyertai parti lain.
Sementara itu, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee kini berada dalam keadaan tersepit selepas semua wakil rakyat Bersatu di Sabah meninggalkan parti itu.
Naib Presiden Bersatu itu tidak mempunyai pilihan selain kekal dalam parti tersebut ekoran pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti kerana beliau satu-satunya pemimpin Bersatu yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung berkata: “Ronald seperti kena checkmate tidak boleh ke mana-mana sebab dia bertanding atas tiket PN pada pilihan raya umum lalu.
“Saya percaya dalam situasi sebegini, dia (Ronald) akan mengambil alih kepimpinan Bersatu di negeri ini. Jadi, istilah terkubur itu belum lagi kerana masih ada wakil tunggal Bersatu di Sabah,” katanya.
Terdahulu, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan kesemua ahli Parlimen dan ADUN Bersatu di Sabah keluar dan meninggalkan Bersatu bagi membentuk sebuah parti baharu.
Namun, buat masa ini, kesemua wakil rakyat itu akan kekal berjuang dalam GRS.
Selain Khairul Firdaus dan Armizan, dua lagi Ahli Parlimen Bersatu yang turut keluar parti itu ialah Datuk Matbali Musah (Sipitang) dan Datuk Jonathan Yassin (Ranau).
14 ADUN Bersatu Sabah termasuk ADUN Dilantik ialah Hajiji (Sulaman), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Fairuz Renddan (Pintasan), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang) dan Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut).
Selain itu Datuk Rubin Balang (Kemabong), Samad Jambri (Labuk), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas), Datuk Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Datuk Ruddy Awah (Pitas), Abdul Ghani Mohamed Yassin (Nabawan), Datuk Amisah Yassin (ADUN Dilantik) dan Jaafari Walliam (ADUN Dilantik). – UTUSAN









