Malam luar biasa Padi Reborn - Utusan Malaysia

Malam luar biasa Padi Reborn

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUAR biasa penangan Konsert 25 Tahun Padi Reborn kali ini. Sorakan peminat bergema hingga ke luar. Ternyata, rindu yang disimpan hampir tiga tahun dibalas dengan sokongan yang cukup hebat sekali.

Bayangkan, laluan masuk ke Zepp KL juga sesak. Peminat hadir tidak mahu berganjak. Kaki seperti sudah dipasak menanti Padi Reborn untuk beraksi dan meraikan cinta dengan barisan lagu popular mereka.

Membuka pentas dengan lagu pemanas, Bayangkanlah yang dipetik daripada album Sesuatu Yang Tertunda (2001), Padi Reborn berjaya mengumpul hampir 2,400 peminat dari seluruh pelosok negara.

“Malam ini kita berkumpul untuk meraikan cinta. Sangat luar biasa sekali semangat yang kalian bawa. Selepas kita ‘berpuasa’ sejenak, berhibernasi selama tiga tahun, Sobat (sahabat) Padi masih berdiri menyokong.

“Masih ingat lagi, negara luar pertama yang dijejaki Padi adalah Malaysia. Ketika itu tahun 2000. Selama dua minggu, kami tinggal di sebuah apartment untuk mempromosikan album. Ketika itu, tiada media sosial.

“Dari radio ke stesen televisyen, dari satu pentas, ke satu pentas. Semua itu adalah memori yang akhirnya menemukan kita semua di sini (Zepp KL). Ini kali pertama kami beraksi di sini, cukup luar biasa,” kata vokalisnya, Fadly.

Meneruskan konsert dengan lagu Sang Penghibur daripada album Tak Hanya Diam (2007), setiap anggota kumpulan popular Indonesia yang terdiri daripada Piyu (gitar utama), Ari (gitar), Rindra (bass) dan Yoyo (dram) bijak menyusun kata.

Pengalaman 25 tahun menyebar benih cinta dicerminkan menerusi persembahan yang membuai jiwa raga setiap yang hadir. Ramai yang memejam mata, melayan galau lirik yang dinyanyikan.

Semestinya, Menanti Sebuah Jawaban antara lagu yang ditunggu-tunggu. Sebelum sempat Fadly melontar suara, gema sorakan peminat terlebih dahulu mengambil alih. Teruja dengan lagu daripada album Padi (2005).

Tidak cukup itu, Padi meneruskan malam luar biasa itu dengan lagu antaranya Ternyata Cinta, Tempat Terakhir, Mahadewi dan Seandainya Bisa Memilih yang dipetik daripada beberapa album mereka.

“Kami punya kenangan luar biasa sekali di Malaysia. Terutama Ari, ada cinta yang tertinggal di sini bukan?” usik Fadly.

Lantas Ari dengan berseloroh menjawab; “Biarkan kisah itu kekal dalam hati.”

Usikan itu mengundang tawa peminat yang hadir. Hakikatnya, 25 tahun kembara seni Padi Reborn, banyak yang telah mereka lalui.

“Tentunya banyak sekali yang kami akan sampaikan malam ini. Untuk 25 tahun itu, kami mahu berikan persembahan istimewa. Lagu seterusnya ini adalah ‘lagu kebangsaan’ Sobat Padi.

“Untuk semua yang pernah jatuh cinta dan patah hati,” ucap Fadly sebelum menyanyikan lagu Kasih Tak Sampai yang diambil daripada album Sesuatu Yang Tertunda (2001).

RAI PERSAHABATAN

Kali ini Fadly tidak menyanyi seorang, kehadiran Ratu Jazz Negara, Datuk Sheila Majid bergabung suara menjadikan peminat terus dibuai alunan gabungan suara mereka.

Tidak cukup itu, kali ini Padi Reborn pula mendendangkan dua lagu Sheila, Antara Anyer Dan Jakarta serta Warna yang ternyata menyerlahkan sisi merendah diri kumpulan yang berasal dari Surabaya, Indonesia ini.

“Sheila adalah idola kami sejak remaja. Saya ada kasetnya dahulu. Saya teruja dan berterima kasih kepada Ratu Jazz Malaysia ini kerana sudi bersama Padi Reborn dan Sobat Padi,” ucap Fadly.

Memasuki set kedua, Padi Reborn tampil dengan baju rona putih dalam sesi akustik menyanyikan lagu-lagu antaranya Seperti Kekasihku, Rapuh, Lain Dunia, Harmoni dan Perjalanan Ini.

Berdurasi tiga jam, setiap lagu berkumandang bagaikan bercerita tentang susur galur perjalanan Padi Reborn yang ‘kehilangan’ selama tujuh tahun sebelum bernafas semula dengan nama baharu.

Malah, mereka sempat menyanyikan lagu Isabella sebagai penghargaan kepada legenda rock tanah air, Datuk Amy Search yang turut hadir memberi sokongan kepada kumpulan yang ditubuhkan pada 1996 itu.

Menutup konsert penuh cinta itu, Sobat Padi disajikan dengan lagu Sahabat sambil berlatar belakangkan bendera Malaysia dan Indonesia tanda kesepakatan dan perpaduan antara dua negara.

Sebanyak 25 lagu dipersembahkan, tiada lelah terpamer. Setiap mereka memberi persembahan terbaik demi membalas hutang rindu Sobat Padi di Malaysia. Terima kasih Padi Reborn, kami pulang dengan senyuman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×