LIMA tahun lamanya dia menutup hati. Bukan tidak mahu, cuma mungkin belum bersedia. Tetapi, tahun ini dia sudah bersedia. Lamaran diterima, pinangan juga sudah. Cuma tunggu majlisnya sahaja kelak.
Ini bukan cerita tentang perkahwinan. Sebaliknya, pinangan untuk Fauziah Ahmad Daud merealisasikan pementasan Muzikal Wajah Rahsia Hati yang bakal berlangsung pada 11 Februari depan di Gateway Theatre, Singapura.
Barangkali ramai yang rasa ‘tertipu’. Apatah lagi, status di Facebook milik seniwati itu seolah-olah menggambarkan dia bakal naik pelamin. Tetapi hakikatnya, dia akan beraksi di pentas teater.
“Ramai orang ingat saya hendak bernikah. Saya tak cakap pun nak bernikah. Cuma, bila ramai yang doa, saya aminkan sahaja,” jawabnya ringkas.
Hakikatnya, teater muzikal ini bakal membuka lembaran sejarah lama dan baharu dalam hidup Fauziah yang lebih popular disapa Ogy. Pementasan yang akan bercerita tentang sejarah hidup seorang bintang seni.
Lantas, apakah yang membuka hati Ogy menerima lamaran penganjur, DStar Management yang sudah menunggu sejak 2017? Adakah bayaran atau keyakinan dan kematangan sudah ada?
“Mungkin lima tahun dulu saya belum berani. Mahu ‘pegang’ panggung bukan kerja mudah. Ini cabaran untuk diri saya. Selepas 50 tahun dalam industri seni, saya harus buktikan kemampuan.
“Bukan untuk orang lain, tetapi diri sendiri. Mengadakan konsert muzikal adalah impian saya. Bukan sekadar pegang mikrofon, saya mahu menari, berlakon, menyanyi dan menghiburkan.
“I’m a show girl! Tidak kira berapa usia dan bagaimana imej saya kini, itu bukan penghalang untuk saya terus membesar dalam industri seni,” jelas anak kepada biduan Allahyarham Datuk Ahmad Daud dan seniwati Allahyarham Datin Saadiah.
ADA APA DENGAN USIA?
Pastinya salah satu ‘kerisauan’ peminat, mampukah pada tangga usia 60 tahun, Ogy beraksi di pentas bermonolog, menari, berlakon dan menyanyi mempersembahkan kisah hidupnya?
Sedar atau tidak, bakatnya bukan calang-calang. Keterujaannya tetap tinggi dan menjadi adrenalin untuk dia beraksi lebih bertenaga.
“Satu kelebihan, saya memang pemain teater. Jadi, saya sudah tahu selok-belok permainan atas pentas. Keduanya, saya perlu perbaiki vokal. Saya tahu itu sebab sudah lama tidak menyanyi.
“Stamina juga penting. Bolehkah saya melakukannya? Iya, saya yakin boleh! Saya sudah bergelumang dalam industri seni cukup lama. Dengan latihan yang betul, saya mampu melakukan sesuatu di luar zon selesa.
“Saya tidak pernah membayangkan, pada usia 60 tahun akan beraksi dalam sebuah teater muzikal bercerita tentang diri. Tiada perkara yang mustahil, antara mahu dengan tidak sahaja,” katanya.
Lima dekad menabur bakti, pementasan muzikal ini adalah galeri cinta seninya. Tetapi, pasti ada mulut-mulut nakal yang tetap mengecam dan mengkritik; “Sudah 60 tahun, patutnya duduk surau bukan di atas pentas.”
“Saya tahu itu, mestilah kena beramal ibadat. Tetapi, saya tidak boleh nafikan takdir dan destinasi hidup yang Tuhan telah tetapkan. Saya insan seni, Tuhan sudah beri jalan hidup.
“Tidak pernah saya terfikir untuk menang anugerah. Saya tidak suka pun jadi pelakon pada awal kemunculan dahulu. Tetapi, inilah cerita hidup saya. Darah seni yang mengalir tidak boleh dihalang.
“Saya tidak boleh duduk diam, berteleku sahaja. Saya membesar sebagai seorang penghibur. Tetapi, saya tahu batas dan sensitiviti. Tonton dan nilai sendiri,” kata pemilik empat album antaranya Bintang Harapan (1982), Gerhana (1983) dan Pelayaranku (1989).
INSPIRASI DAN RAHSIA HATI
Berbicara tentang Muzikal Wajah Rahsia Hati, bintang Ali Setan ini berkata, penonton akan mengenali lebih mendalam siapa Fauziah Ahmad Daud yang sebenarnya. Kebahagiaan dan kekecewaan yang pernah singgah di hati.
“Saya mahu paparkan, saya hanya manusia biasa yang ada perasaan. Bila kecewa, saya menangis. Pernah jatuh dan putus cinta. Saya tidak suka jadi plastik. Penonton boleh lihat jatuh dan bangun saya.
“Tetapi, saya juga mahu memberi inspirasi kepada penonton. Bukan sahaja peminat seusia, tetapi ramai juga anak muda datang dan teruja mengenali saya. Itu membulatkan semangat saya untuk beraksi di pentas ini kelak,” katanya.
Ditanya adakah Muzikal Wajah Rahsia Hati akan dipentaskan di negara ini, Fauziah menjawab:
“Jika sambutannya memberangsangkan dan ada penajaan, apa salahnya. Mengapa Singapura adalah lokasi pertama? Di situ bermulanya sejarah seni Fauziah Ahmad Daud,” katanya.











