KAWASAN Ulu Tembeling bukan sahaja terkenal sebagai destinasi ekopelancongan, tetapi juga ‘lubuk emas’ spesies ikan kelah yang menjadi kegilaan pemancing dan penggemar ikan eksotik.
Ikan kelah adalah ikan kap dalam keluarga Cyprinidae dengan nama saintifik Tor putitora yang bersisik besar dan merupakan ikan air tawar Sungai Tembeling.
Ikan kelah mendiami Sungai Tembeling dan anak-anak sungainya serta hidup liar di dasar berbatu-batan untuk membiak.
Habitat semula jadi alam sekitar memudahkan spesies itu mencari makanan, termasuk buah-buah hutan yang jatuh daripada pokok.
Ketua Kampung Kuala Sat, Abdul Jabar Dollah mengakui, ikan kelah Sungai Tembeling mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat ikan air tawar tempatan dan luar.
Menurutnya, Ulu Tembeling sinonim dengan kaki joran untuk mendaratkan ikan paling mahal yang diidamkan banyak orang di Lembah Tembeling, Jerantut.
“Ikan kelah paling terkenal di Lembah Tembeling dan mendapat sambutan baik, malah ada yang sanggup meredah ‘sengsara’ untuk mendapatkannya.
“Bagi golongan elit pula, wang bukan masalah kerana yang penting kepuasan untuk menikmati kelah asli dari Sungai Tembeling,” katanya.
Tambah beliau, sejak ‘bebas’ daripada belenggu pandemik Covid-19, semakin ramai hadir secara berkumpulan untuk ‘memburu’ dan memancing ikan kelah.
Katanya, mereka dialu-alukan datang ke Ulu Tembeling tetapi dinasihatkan memancing tanpa menggunakan bahan larangan seperti racun perosak.
Tambah beliau, orang luar boleh berkhemah di tebing atau beting pasir sambil menjalankan aktiviti riadah dan memancing.
“Bagaimanapun, mereka dinasihatkan menggunakan khidmat orang kampung sebagai jurupandu ke lokasi terbaik dan selamat,” katanya.
Beliau menegaskan, sebagai anak jati kampung, mereka dapat mengesan perubahan landskap dan persekitaran sekiranya berlaku salah laku pengunjung.
Beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung ( JPKK), Kg Kuala Sat sering mendapatkan bekalan ikan kelah daripada penduduk kampung sekiranya ada tempahan dari luar kawasan.
“Saya berharap lebih ramai lagi penduduk kampung berkecimpung menternak ikan kelah liar untuk menjana pendapatan sampingan yang lumayan,” katanya.
Menurutnya, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah ketika mencemar duli ke kampung ini, Mei lalu turut dihidang menu ikan kelah.
Tambah beliau, selain memancing, pelancong boleh menyambung aktiviti di Kampung Kuala Sat dengan menelusuri Sungai Tembeling dan Sungai Tahan dengan menyewa bot berenjin yang disediakan.
Pengusaha kecil-kecilan kelah liar, Zainal Sidek,43, amat bersyukur di atas permintaan kelah yang sering menjadi pilihan golongan elit.
Menurutnya, ikan kelah yang ditangkap akan disimpan dalam bekas khas di Sungai Tembeling sebelum mendapat permintaan pembeli.
Menurutnya, dia boleh mengaut hasil tangkapan kira-kira RM3,000 sehari kerana bagi penggemar ikan eksotik itu, harga bukan menjadi masalah.
“Dengan pasaran terkini ikan kelah mencecah hampir RM300 sekilogram menjadi sumber pendapatan yang lumayan kepada penduduk,” katanya.
Sementara itu, pelancong tempatan, Abu Samah Abdul Hamid,58, dari Felda Jengka 18, Maran menyertai ekspedisi bermotosikal bersama lima rakan untuk menikmati keindahan alam perkampungan Ulu Tembeling seperti Kampung Gusai, Kampung Bantal dan Kampung Kuala Sat.
Menurutnya, sambil berkelah, mereka sempat memancing Ikan kelah dan spesies ikan air tawar bernilai tinggi untuk sajian tengah hari atau malam.
“Untuk ke lokasi kampung berkenaan, pelawat boleh menaiki kenderaan darat seperti kereta dan motosikal atau jika mahu lebih mencabar, menaiki bot di Kuala Tahan,” katanya.
Menurutnya, di Kampung Kuala Sat, pelawat dapat merasai pengalaman bermain dengan ikan liar seperti ikan kelah dan spesies lain yang jinak, antaranya lampam sungai dan kerai di Santuari Sungai Sat iaitu anak Sungai Tembeling.
Untuk sampai, pelawat perlu menempuh beberapa laluan berliku dan bukit-bukau, termasuk di lokasi indah Bukit Awan sejauh 67 kilometer dengan tempoh perjalanan kira-kira 1 jam 30 minit dari simpang jalan Jerantut-Maran.











