Qodrat, definisi sebenar seram - Utusan Malaysia

Qodrat, definisi sebenar seram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARANGKALI ramai yang tertanya-tanya, seram sangatkah filem dari Indonesia, Qodrat? Benarkah seperti apa yang dicanang, filem arahan Charles Gozali ini bakal meremangkan bulu roma siapa sahaja yang menonton?

Jawapan itu ada pada setiap penonton. Tahap keseraman dan ketakutan bergantung kepada cita rasa masing-masing. Tetapi, sebagai antara yang pernah menonton, Qodrat mempunyai nilai seram yang berbeza.

Qodrat mengisahkan tentang seorang ustaz yang berpuluh tahun menggunakan ilmu ruqyah untuk menolong orang, namun gagal membantu anaknya sendiri, Alif Al-Fatanah yang dirasuki Assuala.

Mencari jawapan atas kegundahannya, Qodrat pulang ke madrasah pengajiannya, namun tempat itu sudah tidak seperti dulu kerana gangguan yang tidak dapat dijelaskan.

Ketika situasi semakin tegang, Qodrat harus berhadapan dengan traumanya ketika meruqyah Alif Amri iaitu anak bongsu kepada Yasmin. Ini kerana nama anak tersebut sama dengan arwah anaknya.

Di tengah ujian yang meruntuhkan jiwa, Qodrat kembali menghadapi amukan Assuala. Kali ini, Qodrat harus memilih antara menuruti kemarahannya atau kembali menemukan keimanannya.

Membariskan pelakon handalan, antaranya Vino G. Bastian, Marsha Timothy, Randy Pangalila dan ramai lagi, Qodrat mengambil masa empat tahun untuk dihasilkan.

Selain jalan cerita dan elemen seram, lakonan Vino sebagai Qodrat juga cukup mengagumkan. Dia membawa penonton merasai penderitaan dan kekecewaan seorang ayah yang mahu menuntut keadilan atas kematian anaknya.

Biarpun berdepan kontroversi apabila tampil seolah-olah tanpa seurat benang dalam satu babak pada awal filem, Vino tetap memberikan persembahan lakonan seperti yang diharapkan peminat.

Malah, menerusi filem ini juga, dia bergandingan dengan isterinya, Marsha yang turut sama memberi ‘nyawa’ berterusan kepada Qodrat. Kolaborasi yang hebat walaupun bukan memegang watak sebagai suami isteri.

Kehadiran Randy Pangalila juga memberi nilai tambah kepada filem yang memasuki pawagam sejak 24 November lalu. Dia berjaya menghidupkan watak Zafar dengan cukup berkesan.

Menariknya, sinematografi dan warna yang digunakan mencantikkan filem ini. Elemen seram menjadi lebih meremangkan dengan latar muzik yang hebat. Tidak ketinggalan, suntingan yang cukup kemas.

Penggunaan teknik imej janaan komputer (CGI) juga membuktikan gabungan beberapa produksi bertaraf antarabangsa itu berjaya. Tiada kejanggalan yang terpamer. Segalanya tepat mengikut jalan cerita.

Menggabungkan elemen seram dan agama, pihak produksi juga telah mendapatkan bantuan daripada ustaz dan bimbingan nasihat ulama bagi menghindari kesalahan makna yang dipersembahkan dalam filem.

Malah, filem itu menjadi antara naskhah seram terbesar di Indonesia kerana menggabungkan beberapa produksi luar dan dalam negara itu seperti Rapi Films, Magma Entertainment, Ideosource Entertainment, Astro Shaw, Caravan Studios dan Dunia Mencekam Productions.

Apakah punca masalah di perkampungan madrasah pengajian Qodrat? Adakah pengkhianatan menjadi asbab kebangkitan semangat Qodrat menebus kekecewaan hidupnya? Itu semua bakal terjawab jika anda menonton Qodrat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×