Jemaah menteri baharu bermesyuarat hari ini

Jemaah menteri baharu bermesyuarat hari ini

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar dengan barisan menteri Kabinet pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara, kelmarin. –IHSAN JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 28 jemaah menteri memulakan tugas hari ini dengan agenda pertama adalah mesyuarat khas Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kali pertama mesyuarat Kabinet baharu diadakan sejak barisan jemaah menteri diumumkan Jumaat lalu, sebelum mengangkat sumpah sebagai menteri di Istana Negara, kelmarin.

Anwar sebelum ini memaklumkan, mesyuarat itu akan menetapkan beberapa peraturan baharu yang perlu dipatuhi oleh semua jemaah menteri.

Antaranya cara mengurus kementerian, cara mendampingi dan bekerjasama dengan penjawat awam, penetapan cara untuk ahli jemaah menteri membuat pengumuman berkaitan dasar serta cara berbelanja agar tidak melebihi kadar sepatutnya.

Ini setelah pelantikan beberapa menteri baharu mengundang reaksi berbeza daripada pelbagai pihak, malah dikritik hebat oleh pihak pembangkang terutama Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan, beliau terbuka dengan sebarang kritikan daripada mana-mana pihak termasuk pembangkang, namun hanya mahu fokus dengan tugasnya sebagai menteri.

“Pembangkang hidup dengan membangkang, itu memang kerja dia, tetapi kita mengamalkan demokrasi, sebab apa sahaja yang kita buat, mereka tak akan setuju.

“Namun, apa yang lebih penting adalah kita buat untuk rakyat. Pelantikan Kabinet ini adalah satu amanat dan kita akan buat sehabis baik,” katanya ketika dihubungi.

Ini kali kedua Mohamed Khaled menggalas tugas sebagai Menteri Pendidikan Tinggi selepas kali terakhir memegang jawatan tersebut pada 2008 hingga 2013, di bawah dua Perdana Menteri iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil berkata, terdapat beberapa perkara yang menjadi keutamaan beliau antaranya soal akses internet 5g, capaian di luar bandar, keselamatan data peribadi dan jenayah penipuan dalam talian.

“Apa yang saya paling risau sebenarnya ialah masalah scammer, perlindungan data peribadi dan isu penyebaran berita palsu terutama dalam media sosial. Saya dimaklumkan oleh ketua setiausaha kementerian bahawa ada jawatankuasa yang meneliti perkara ini.

“Jadi harap jawatankuasa ini diaktifkan semula untuk kita pantau dan memanggil satu persatu platform untuk kita fahami keadaan, adakah kerangka kawal selia yang mungkin perlu kita tambah baik bagi memastikan kebebasan bersuara itu ada tetapi had dan batas-batas itu dihormati,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×