Politik Melayu menyedihkan!

Politik Melayu menyedihkan!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA sudahnya politik Melayu. Menubuhkan banyak parti Melayu, tapi akibatnya hanya ‘membunuh’ politik Melayu itu sendiri.

Yang ketara daripada penangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) seperkara ini cukup penting diamati adalah tiadanya barisan pelapis baharu yang mantap daripada parti-parti utama Melayu. Mereka ini tidak cukup masak dan lasak seperti mana calon-calon pilihan raya Melayu daripada DAP dan PKR.

Hujah-hujah politik dan isu semasa dibangkitkan atau dijawab belum mencapai aras tinggi. Biase-biase sahaja. Bukan di luar kotak. Bait-bait ungkapan tidak mencabar, catchy, ‘kosong’ berbanding karakter dan personaliti ditampilkan Melayu DAP dan PKR.

Jadi, bukan suatu yang pelik barisan pelapis parti-parti utama Melayu ini sepi, malah kalah pula di kerusi-kerusi ditandingi di Kuala Lumpur, Perak, Selangor dan Melaka.

Di sebalik itu, politik Melayu yang mendepani tahun 2023 jangan lagi terlampau konservatif. Perlu bijak merentasi masa dan mengadunnya mengikut zaman, asal sahaja tidak tinggal nilai budi dan Islamiknya.

Dengan 1.2 juta pengundi 18 hingga 20 tahun, yang anggarannya meningkat saban tahun hingga PRU16, maka harus diasah pemikiran baharu hingga berkilat agar parti Melayu tidak ditelan zaman.

KIAN DINAMIK

Politik Malaysia hari ini semakin dinamik. Bila-bila masa sahaja kuasa parti tertentu boleh ditukar ganti bila angin pengundi tidak setara. Klip video pendek TikTok dan hantaran WhatsApp kini bertindak sebagai tentera siber untuk meraih sokongan, simpati dan undi sehingga menenggelamkan jutaan ahli dimiliki parti politik. Buktinya PRU15 tempoh hari, ahli parti yang ramai bukan lagi formula menang pilihan raya. Istilah ‘akar umbi’ rupanya hanya sedap bermain di bibir.

Biar begitu halnya, politik Melayu waima apa sekalipun rintangan di depan, mesti perlu bertaut kembali. Meskipun sukar, laluannya berliku dengan dendam dan prasangka menebal, tanggungjawab para pemimpin Melayu terhadap bangsa, agama dan negara jauh lebih besar daripada pihak lain. Melayu adalah tunjangnya, di sebalik peranan pemimpin kaum-kaum lain tidak diperkecilkan.

Melayu teras bagi Malaysia. Lemah orang Melayu, lemahlah Malaysia, tidak stabillah.

Ingat! Puncak biasanya tidak luas. Tidak ramai yang boleh berada di puncak seperti mana ramai yang terdapat di bahagian bawah puncak dan di dataran. Jika ada pergelutan di puncak, tentu akan ada yang jatuh ke bawah. Tetapi mungkin juga semua akan terjatuh kerana pergelutan di puncak.

Dalam perjuangan manusia, puncak tidak ditetapkan. Ia boleh ditentukan oleh pejuang sendiri. Dengan itu ada bangsa yang naik tidak begitu tinggi dan sampailah mereka ke puncak gunung perjuangan mereka.

Kemudian mereka tidak boleh naik lagi.

Ada bangsa lain yang tidak mampu mendaki gunung perjuangan sama sekali. Bahkan tidak mempunyai niat atau cita-cita untuk mendaki ke mana-mana dan oleh itu terus tinggal di bawah, di dalam lembah.

Tetapi ada bangsa yang bergerak sebagai satu pasukan, menyusun langkah secara teratur dan tertib. Mereka mempunyai ketua yang mendahului pasukan yang merintis, menebas dan menebang jalan yang selamat untuk dijejak oleh ahli-ahli pasukannya. Tidak lupa akan mereka yang di belakang dan di bawah serta bergerak berhati-hati secara terancang. Bangsa yang berpasukan yang tertib ini pasti akan dapat sampai ke puncak perjuangan yang lebih tinggi.

Bangsa yang tertib dan berpasukan kukuh ini, bangsa yang tidak berebut-rebut ketika mendaki dan semasa berada di puncak, bangsa yang mulia budayanya, akan menjadi bangsa yang agung, bertamadun tinggi, dihormati dan disegani.

HASAD

Dan amat yang dibimbangi, orang Melayu gemar berpolitik. Banyak parti terasnya – tujuh, lapan, 10, bahkan sedozen parti Melayu, sebenarnya tidak mengapa. Tapi biarlah politik itu mengikut model orang lain – yang terarah dan mereka tahu apa yang hendak digapai untuk manfaat kaumnya.

Memerhati sekeliling dengan pemikiran terbuka, matang dan memandang jauh ke depan, hakikatnya orang Melayu sudah tidak ada apapun di ‘Tanah Melayu’ Malaysia ini. Mengapa? Ekonomi sudah dikuasai orang lain. Pendidikan? Mereka juga. Kekayaan? Kita maklum mereka itu jualah.

Yang kita orang Melayu ada kini, itupun ‘sekelumit’ yang tinggal hanyalah kuasa politik. Dan berdikit-dikit pula diambil pihak sebelah sana. Cuma, kita bernasib baik, masih ada Raja. Wallahualam.

Sebab itu tanpa kesedaran dan kepekaan sociohistorical atau sejarah sosial, pasti sekali kita tidak dapat memahami dengan mendalam sifat masalah dan cabaran-cabaran yang dihadapi serta implikasinya. Inilah ‘tragedi’ kepada pemimpin-pemimpin politik jika mereka terus alpa, sedangkan massa Melayu sedang melihat, mendengar dan memikir akan fiil mereka, sebelum ‘membalasnya.’

Apa yang boleh difikirkan oleh Undi18 Melayu apabila pertama kali memangkah kertas undi? Kita boleh ‘menjangkakannya.’ Dan kerana itu mereka (Undi18) perlu diasuh dan dididik dengan nilai-nilai kenegaraan dan pertiwi yang kelihatannya makin lenyap dari masa ke masa.

Meskipun kita menolak kebenaran falsafah-falsafah berbentuk sejarah yang bersifat dogmatik dan linear – contohnya, dialectical materialism – kesedaran sejarah itu tetap penting. Ia membuat kita memahami keadaan hidup, cabaran getir mendatang dan kewujudan kita.

Dan akhirnya jika penyakit perasaan hasad dengki dalam kalangan orang Melayu tidak dikikis, apa yang diimpi didambakan hanya kegelapan menanti.

Dalam The Malay Mind (1996), Abang Yusuf Puteh menyebut penyakit Melayu ini sebagai the most serious, dangerous and destructive traits of the Malay mind.

Ini diwakili dengki dan dendam. Kedua-duanya disingkatkan kepada 2Ds. Bagi beliau penyakit ini tidak lain ialah: ‘The basic philosophy in the Malay heart has been this; that everybody should be equel inpoverty and misery, and that no one should be better off either in prosperity or social standing.’

Isu hasad dengki ini kerana inilah ‘penyakit keramat’ yang menyelubungi politik Melayu sejak sekian lama.

Ya, terbukti hasilnya daripada PRU15 tempoh hari. Menyedihkan! – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×