Dera: Wanita perlu berani - Utusan Malaysia

Dera: Wanita perlu berani

PENDERAAN melibatkan aspek fizikal merupakan sebahagian daripada aksi keganasan rumah tangga yang berlaku dalam masyarakat. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DILONTARKAN kata-kata kesat, dihina, diperlekeh di hadapan saudara-mara, ditengking, diherdik, tidak dihiraukan dan dipanggil dengan gelaran buruk merupakan antara jenis penderaan emosi dialami oleh pasangan.

Tidak terkecuali perbuatan mengongkong, mengasingkan pasangan dengan menghalang mereka berjumpa ibu bapa dan ahli keluarga, memperkecilkan pilihan, menghalang isteri bekerja, merampas pendapatan serta mengaibkan pasangan di laman sosial juga merupakan antara bentuk penderaan.

Lebih parah lagi apabila perbuatan tersebut melibatkan aspek fizikal seperti dipukul, ditampar, disepak, dicekik, diperkosa, diliwat malah dicederakan dan dibunuh merupakan sebahagian daripada aksi keganasan rumah tangga yang berlaku dalam masyarakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sungguhpun keganasan rumah tangga boleh berlaku sama ada terhadap suami mahupun isteri, perbuatan tersebut sinonim dialami oleh golongan isteri. Mereka cenderung menjadi mangsa kerana memiliki fizikal lebih lemah berbanding kaum lelaki.

Malah, dalam situasi tertentu, golongan isteri lebih mudah dimanipulasi kerana kebergantungan mereka kepada pasangan terutama dari aspek kewangan. Begitu juga perasaan mereka mudah dieksploitasi dengan ugutan untuk dipisahkan daripada anak-anak.

Betapa bermaharajalelanya perlakuan keganasan rumah tangga ini sehinggakan hampir setiap hari kita disajikan dengan berita keganasan domestik. Sebagai contoh, pada 13 Oktober lalu, terdapat tiga kes keganasan melibatkan individu berbeza disiarkan di akhbar membabitkan pukulan terhadap isteri, adik ipar dan paling menyedihkan apabila kematian seorang bayi berusia tiga bulan yang dibunuh oleh bapa kandungnya sendiri.

Kajian menunjukkan keganasan bukan hanya memberi kesan kepada mangsa, kanak-kanak yang terdedah dengan persekitaran tersebut cenderung untuk menjadi mangsa penderaan, tidak menerima rawatan kesihatan dan mengalami masalah kelakuan, emosi serta pembelajaran.

Bagi remaja, mereka cenderung untuk menyalahgunakan dadah, terlibat dengan ketagihan rokok dan alkohol serta seks bebas. Orang dewasa yang membesar dalam suasana keganasan rumah tangga pula cenderung untuk melakukan perbuatan sama terhadap pasangannya apabila berumah tangga kelak.

Di mahkamah syariah, faktor penderaan merupakan punca keempat tertinggi berlakunya pembubaran perkahwinan. Daripada 669 kes yang saya kaji sepanjang 2015 hingga 2019 di Selangor, 189 kes atau bersamaan 13 peratus disebabkan penderaan.

Faktor tersebut kemudiannya diselidiki dan dipecahkan kepada tiga alasan utama. Alasan dengan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 54 peratus disebabkan menganiaya/memukul isteri/suami/anak. Alasan kedua dan ketiga pula disebabkan gangguan emosi (29 peratus) dan ketagihan dadah/arak (17 peratus).

Menerusi rekod mahkamah juga didapati penderaan dilakukan defendan bukan hanya menyebabkan kecederaan ringan dan luka, sesetengah kes mengakibatkan kecederaan kekal, keguguran anak dalam kandungan, kemurungan dan gangguan emosi berterusan.

Malah statistik di United Kingdom menunjukkan 2.34 juta rakyatnya menjadi mangsa keganasan rumah tangga sepanjang 2018 hingga 2019 dengan 67 peratus adalah golongan wanita.

TOKSIK

Kajian dilakukan di seluruh dunia pula mendapati kadar peratusan wanita berusia antara 15 hingga 49 tahun yang didera oleh pasangan adalah 15 hingga 71 peratus. Perbezaan kadar peratusan di sesebuah negara berbanding negara lain menunjukkan keganasan terhadap wanita boleh dielakkan.

Bukanlah suatu perkara mengejutkan apabila terdapat segelintir wanita yang bertahan dalam situasi mencengkam tersebut selama berbelas tahun. Malah menurut rekod mahkamah, terdapat isteri yang terperosok dalam perkahwinan toksik sehingga mencecah hampir 30 tahun.

Undang-undang Keluarga Islam menyediakan solusi bagi isteri yang didera untuk keluar dari kepompong kebinasaan tersebut menerusi pembubaran perkahwinan secara taklik, mahupun fasakh.

Yang penting ketika pemfailan kes, pihak isteri hendaklah mengemukakan salinan sijil perkahwinan, laporan polis dan/atau salinan perubatan daripada hospital/klinik kerajaan (jika ada) ketika pliding difailkan di mahkamah syariah.

Pengemukaan keterangan daripada saksi pula tidak semestinya diperoleh daripada seseorang yang melihat isteri tersebut dipukul secara langsung oleh suaminya.

Namun, memandangkan kes rumah tangga kebiasaannya berlaku di sebalik empat dinding, maka memadai saksi bayyinah dipanggil untuk memberi keterangan. Begitu juga keterangan qarinah seperti kesan pukulan pada anggota badan serta rekod jenayah suami boleh dijadikan bukti di mahkamah.

Memandangkan kajian yang saya jalankan juga mendapati pelaku keganasan rumah tangga berkecenderungan untuk tidak menghadirkan diri ke mahkamah sekali gus menyebabkan tempoh penyelesaian kes menjadi lebih panjang, maka isteri mempunyai pilihan untuk memfailkan permohonan injunksi menurut Seksyen 107 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 bagi mencegah pasangan daripada melakukan gangguan dan pencerobohan dalam tempoh tersebut.

Malah, Arahan Amalan No. 11 Tahun 2019 menetapkan permohonan injunksi tersebut boleh dilakukan secara sebelah pihak dan didengar secara serta-merta atau tidak lewat dari hari bekerja berikutnya setelah perakuan segera dilampirkan.

Sebenarnya untuk melarikan diri daripada pasangan pendera memerlukan kekuatan mental dan perancangan rapi, bukannya sekadar keluar dari rumah.

Manfaatkanlah talian Nur 15999 bagi mendapatkan nasihat dan bantuan, hubungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdekatan, laporkan penderaan tersebut kepada polis, dapatkan rawatan serta laporan perubatan daripada pegawai kesihatan.

Bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bersabda, “Bantulah saudaramu yang zalim dan juga yang dizalimi.” Bagi mengelak kitaran penderaan ini terus berulang, mungkin sudah tiba masanya pelaku keganasan rumah tangga diperintahkan menjalani rawatan terapi spiritual atau kaunseling, bukan sekadar dipisahkan menerusi perintah taklik ataupun fasakh.

Setakat ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membangunkan KSK Care Centre yang mempunyai pelbagai modul terapi psikososial bagi memberikan perkhidmatan tersebut.

Sungguhpun pelbagai inisiatif terpampang di depan mata, namun semuanya tidak bermakna sekiranya gagal dimanfaatkan. Justeru, wanita perlu nekad dan bangkit jika sayangkan diri sendiri dan ahli keluarga. – UTUSAN

PENULIS ialah Ketua Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×