Kira-kira 2,000 orang Melayu kampung tradisional Ulu Tembeling Jerantut teruja apabila Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli, ‘menjenguk’ mereka yang tinggal di pedalaman negeri itu baharu-baharu ini.
Masyarakat Melayu yang tinggal di beberapa buah kampung di Ulu Tembeling dari segi sejarah mempunyai hubungan erat dengan Kesultanan Melayu Pahang sejak zaman berzaman.
Ini kerana sorotan sejarah hubungan kerabat Diraja Pahang dengan penduduk di Ulu Tembeling telah terjalin sejak Sultan Pahang pertama Almarhum Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Bendahara Ali yang memerintah Pahang selama 50 tahun ( 1882-1914).
Hubungan ‘kekeluargaan’ bersama penduduk Ulu Tembeling diteruskan oleh Sultan Pahang selepas baginda dan legasi itu diharmonikan lagi oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah kerabat paling muda penerus legasi Kesultanan Melayu Pahang.

Menurut penduduk kampung Ulu Tembeling Al-Marhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar antara Sultan yang kerap berangkat menemui rakyat di kawasan ini.
Kembara Baginda selama tiga hari dua malam, membabitkan beberapa buah kampung di sekitar Ulu Tembeling itu, meninggalkan sejarah dan kenangan indah kepada penduduk kampung yang ‘merindui’ sosok tubuh tampan Pemangku Raja Pahang.
Turut bersama dalam siri kembara berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain, Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris, Ketua Polis Daerah Jerantut, Supt. Mazlan Hassan dan Kadi Daerah Jerantut, Ustaz Syarifuddin Mohamad Sa’ad.
Tengku Hassanal turut merasai pengalaman berharga dengan menaiki perahu galah menelusuri sungai sambil dihidangkan dengan pemandangan yang indah di sepanjang perjalanan Baginda untuk sampai ke kampung-kampung tersebut.
Ketua Kampung Bantal Hamdan Ali berkata, antara kampung yang disinggahi baginda ialah Kampung Bantal, Kampung Mat Daling, Kampung Gusai, Kampung Kuala Sat dan beberapa buah kampung yang lain di sekitar kawasan tersebut.

Jelajah ini merupakan yang pertama kali diadakan oleh baginda ke Ulu Tembeling selepas dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Pahang.
Pelbagai aktiviti dijalankan Baginda bersama-sama penduduk kampung antaranya, berkayak, jungle trekking, bersiram bersama rakyat dan sebagainya.
“Perkampungan Melayu Ulu Tembeling masih kaya dengan flora dan fauna dalam keadaan asal sangat menarik menjadi pilihan Pemangku Raja,” kata Hamdan.
Kagumi Baginda Mesra Rakyat
PENDUDUK mengagumi perawakan dan personaliti baginda yang mesra rakyat yang diwarisi daripada ayahanda baginda, Al-Sultan Abdullah dan nenda baginda Al Marhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah.
Tambah beliau, penduduk kampung ini seramai 510 orang teruja dan terharu dengan kesudian Pemangku Raja menyantuni rakyat yang terlantar, melawat SK. Kg. Bantal dan bersiram di Sungai Tembeling yang sejuk dan nyaman.
“Baginda sangat gembira dan berkayak di aliran Sungai Tembeling yang tenang, bermotor lasak meninjau kawasan kawasan kampung yang menghijau. Baginda secara spontan mengurniakan wang tunai kepada penduduk yang dijumpai dalam perjalanan,” katanya.
Sementara itu, Ketua kampung Kuala Sat Abdul Jabar Dollah berkata, dalam kunjungan itu, Pemangku Raja turut menyantuni dan bertanya khabar asnaf yang dikunjungi baginda di kampung berkenaan.
Menurutnya, penduduk kampung kira-kira 600 orang tidak akan melupakan peristiwa keberangkatan Pemangku Raja Pahang di kampung ini kerana sikap baginda yang santai dan empati dengan kesulitan penduduk.
“Pemangku Raja Pahang turut merasai pengalaman berada di rumah rakit dan memberi makan ikan kelah merah yang bernilai tinggi,” katanya.
Pada kunjungan berkenaan, Baginda Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang turut mengurniakan sumbangan peribadi dan agihan zakat daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada mereka.










