Sanggup jadi gelandangan untuk dapat makanan percuma - Utusan Malaysia

Sanggup jadi gelandangan untuk dapat makanan percuma

KIRA-KIRA 40 individu termasuk gelandangan mengambil kesempatan tidur di bawah bangunan Komtar di Georgetown, Pulau Pinang bagi mendapatkan makanan percuma sepanjang tempoh PKP dilaksanakanI di sekitar Jalan Penang, Georgetown, Pulau Pinang. -UTUSAN/NOOR HASLIZA NUSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kira-kira 40 individu termasuk gelandangan sanggup bermalam di bawah Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini biarpun ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana mahu mendapatkan makanan percuma.

Tinjauan Utusan Malaysia di Jalan Ria dari Jalan Dr. Lim Chew Leong pada pukul 10 malam semalam mendapati mereka terdiri daripada lelaki berusia 30 hingga 50-an memilih tidur di kerusi Stesen Bas Komtar dan kaki lima bangunan di situ.

Difahamkan, sejak PKP pada 13 Januari, tiada kelibat gelandangan wanita bermalam di kawasan berkenaan berbanding sewaktu PKP Pemulihan (PKPP) dan PKP Bersyarat (PKPB) tahun lalu.

Seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Rashid, 48, berkata, dia sanggup meninggalkan sementara rumahnya di Kebun Bunga di sini setiap malam Sabtu dan minggu sejak PKP dengan harapan memperoleh makanan dan minuman percuma.

Menurutnya, dia mengambil keputusan tidur di kawasan Komtar bersama dua lagi kenalannya sementara menunggu hari siang.

“Saya bukan gelandangan dan masih ada rumah. Tetapi, tujuan saya ke sini untuk bertemu dengan kawan selain mengambil bantuan makanan diagihkan ketika PKP.

“Pemberi makanan terpaksa sorok-sorok ketika memberi bungkusan nasi atau air kerana takut dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa disebabkan pernah berlaku semasa PKP Mac lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd. Ali, 45, berkata, dia sanggup menunggang motosikal sejauh 16 kilometer dari rumahnya di Batu Feringghi ke Komtar setiap malam sejak Rabu lalu.

“Saya akan tidur di atas tembok batu di sini sehingga esok pagi dan akan datang semula pada malam hari.

“Seperti sebelum ini (PKP lalu), saya juga memilih bermalam di bawah Komtar kerana kawasan ini lebih selamat selain berpeluang membawa balik stok makanan ringan seperti roti dan air kotak dalam kuantiti yang banyak,” katanya yang bekerja sambilan di sebuah kedai makan.

Dalam pada itu, seorang pengayuh beca, Zainal Harun, 49, yang mendakwa berasal dari Taiping, Perak berkata, kebanyakan mereka yang tinggal sementara di lokasi berkenaan sudah lali dengan tindakan atau serbuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Namun, sejak PKP semula, kawasan ini belum lagi diserbu atau kami dihalau oleh pihak berkuasa tempatan.

“Ini adalah antara lokasi yang saya sering bermalam sejak PKP lalu dengan harapan diberi bantuan makanan percuma.

“Sekurang-kurangnya makanan yang diberikan dapat mengisi perut kami sepanjang malam disebabkan semua gerai di sekitar Georgetown ditutup mulai pukul 8 malam,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×