Natasha kongsi kriteria lelaki pilihan - Utusan Malaysia

Natasha kongsi kriteria lelaki pilihan

NATASHA HUDSON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERSTATUS janda bukan sekali, tetapi untuk keempat kalinya. Siapa yang suka atau mahu bukan?

Tetapi inilah takdir dan jalan yang perlu dilalui oleh pelakon cantik, Natasha Hudson, 38, yang secara tidak sengaja memperlihatkan, dirinya seolah-olah lemah apabila berpasangan dengan mana-mana lelaki sekali pun.

Bukanlah hendak menyalahkan dirinya, apatah lagi kita tidak tahu apa sebenarnya yang dilalui oleh wanita ini sepanjang bergelar isteri kepada setiap satu ikatan perkahwinan yang kini sudah terlerai.

Barangkali dia sendiri sudah melakukan yang terbaik. Cuma tuah dan jodoh masih belum menyebelahi.

Pun begitu, untuk dia kembali membina sebuah perhubungan atau perkahwinan yang baharu, Natasha akui masih belum bersedia untuk memikirkan arah itu.

“Mungkin juga serik, jadi saya seakan tidak bersedia lagi untuk mencari pengganti. Apa yang ada dan dilakukan sekarang sudah cukup menggembirakan hati saya. Cukuplah.

“Perkara yang berlalu pun terasa macam semalam baru berlaku dan saya pun menganggap diri masih menjalani proses kesembuhan daripada ‘luka’.

“Malah, terasa diri ini macam baru hendak bertapak atas tanah dengan kaki sendiri. Jadi, nanti dululah soal itu,” katanya.

DIPELAWA JADI MADU

Berkongsi lanjut, kata pelakon ini, dia bagaimanapun tidak menafikan bahawa ada sahaja lelaki yang ingin mendekati dan berkenalan dengannya.

Apatah lagi dengan status yang dibawa, barangkali ada antara kaum lelaki menganggap dirinya pasti sedang sunyi lantaran tiada teman di sisi atau sekurang-kurangnya untuk menjadi sosok pemimpin dalam keluarga kecilnya.

Kata Natasha, yang cuba mendekati terlalu ramai tetapi semua itu tidak dipandang serius di matanya kerana dia masih belum benar-benar mahu membuka hati.

“Pendek kata, macam-macam jenis perangai yang ada dan cuba mendekati. Tak cuma itu, ada juga wanita yang cuba melamar saya untuk jadi madunya. Ini memang di luar kotak fikiran saya.

“Saya sendiri tergelak bila mendengar pelawaan macam itu,” katanya.

Menurut anak kelahiran Ipoh, Perak ini lagi, jika boleh, dia tidak mahu berkenalan dengan mana-mana lelaki menerusi aplikasi atau media sosial.

Baginya, andai lelaki itu diperkenalkan oleh seseorang, mungkin ia lebih molek dan tidak kelihatan janggal.

“Takut jugalah kalau nak berkenalan menerusi media sosial. Iyalah, sebab rata-ratanya adalah orang asing.

“Kalau diperkenalkan oleh orang terdekat, lainlah cerita. Bukan apa, manusia ni ada macam-macam jenis.

“Disebabkan itu jugalah pernah satu ketika saya menutup akaun Instagram. Sebab wujud lelaki-lelaki yang pelik dan menakutkan yang cuba mengganggu. Bahaya,” katanya.

 

Natasha mahu fokus pada kerjayanya tahun ini.

KRITERIA LELAKI

Mela­yangkan pertanyaan mengenai kriteria yang diingini terhadap mana-mana lelaki yang dianggap tepat untuknya, Natasha tidak segan untuk berkongsi sedikit mengenainya.

Katanya, seandainya dahulu dia melihat lelaki yang kuat pegangan agama mampu membimbingnya ke jalan yang benar, dalam perhubungan kali ini, Natasha tidak mahu meletakkan tanda aras yang tinggi dalam bab yang satu ini.

Bukanlah menganggap soal agama itu tidak penting, cuma dia sendiri enggan terlalu mengejar kesempurnaan kerana mula sedar tiada jaminan atau kesempurnaan di dunia ini.

“Saya tak boleh berharap kesempurnaan dalam hidup sebab ada orang yang tidak akan menunjukkan warna sebenar dirinya sebelum berkahwin.

“Apabila sudah bersama, barulah satu persatu warna keluar. Sebab itulah, menjadi diri sendiri itu lebih penting.

“Kalau lelaki berkenaan boleh menerima saya dan anak-anak dengan baik dan ikhlas, itu pun sudah memadai kerana saya juga tidak mempunyai keluarga yang sempurna,” katanya.

Sedar bahawa kebanyakan lelaki akan berkata ‘ya’ dan ‘boleh’ saat sebelum bernikah, Natasha merasakan ramai yang benar-benar rela menerima seorang wanita berstatus janda dengan pakej anak-anak.

“Disebabkan itu, jika ada petanda atau ‘bendera merah’ yang saya lihat pada seseorang lelaki itu, lebih baik undur diri kerana sebagai wanita, kita sudah tahu ia akan menjurus kepada satu perhubungan yang tidak sihat.

“Hidup ini pun singkat dan bila usia sudah meningkat, saya kena fikir banyak benda untuk keluarga. Kalau lelaki tersebut tidak mampu untuk menjadi ketua keluarga, saya rasa tak payah,” katanya.

Mengaku dirinya tidak pernah selesa cuma dengan bergantung pada seorang lelaki bergelar suami, Natasha lebih rela bekerja daripada dianggap senang lenang atas usaha orang lain.

Katanya, sejak dari dahulu, dia tidak pernah bergantung pada lelaki kerana menganggap wanita harus kuat dan tahu diri.

“Saya akan cari cara untuk menyara hidup secara halal dan tentunya bukan dengan cara yang haram. Saya orangnya sederhana sahaja cuma orang yang selalu fikir sebaliknya.

“Lelaki yang hendakkan saya kena faham dan hadam perkara ini. Kalau dirinya tidak boleh memahami dan menjadi ketua keluarga yang baik, rasanya berat untuk saya menerimanya,” katanya.

FOKUS KERJAYA

Dalam pada itu, meletak ketepi soal kahwin atau pengganti teman hidup, Natasha mahu fokus pada kerjayanya sementelah dia enggan terlepas banyak peluang yang mendatang.

Berharap bahawa tahun ini bakal membawa sejuta sinar baru buat dirinya dalam aspek kerjaya seni, pelakon ini mahu memastikan segala impian yang tergendala dapat direalisasikan jika diizinkan Tuhan.

“Contohnya macam lakonan, tahun ini sepatutnya saya terlibat dalam penggambaran sebuah filem Indonesia. Tetapi apabila dunia pula sudah dilanda pandemik Covid-19 dan Indonesia juga boleh dikatakan agak teruk kes ini, maka tergendalalah kerja itu.

“Saya tanam hasrat kalau boleh nak fokus kerja gila-gila pada tahun ini, tetapi kita hanya merancang, yang menentukan adalah Dia yang di atas.

“Kalau ada rezeki dan peluang, memang akan buat sebab dunia lakonan adalah jiwa dan cinta saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×