Girl Guides Glow Up adalah program perintis bersama 36 ahli Pandu Puteri terpilih dari setiap daerah di Pahang yang berusia 16 tahun.
Dicetuskan oleh Timbalan Yang Dipertua Pandu Puteri Malaysia Cawangan Pahang, Cik Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan Mohamed Moiz, program itu dilancarkan pada 11 Oktober lalu bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa secara dalam talian Facebook Girl Guides Glow Up Pahang.
Puteri Suraiya berkata, apabila mengetahui sekolah-sekolah di Pahang tidak ada karnival kerjaya untuk pelajar perempuan berusia 16 dan 17 tahun, sesuatu harus dilakukan untuk mempersiapkan diri mereka dalam menempuh kehidupan pasca sekolah dan universiti.
Contohnya, kata beliau, dengan menyediakan panduan untuk menghadiri temu duga, menulis resume dan mencari tempat latihan amali.
“Pada mulanya, kami merangka sebuah program memfokuskan pada latihan kemahiran vokasional tetapi setelah berbincang dengan pelajar ini tentang cita-cita mereka, kami menerima pelbagai jawapan kerana ada yang ingin menjadi doktor, peguam, cikgu dan lain-lain.
“Dari situ kami mendapat idea untuk menemu bual pakar bidang dari industri berbeza untuk berkongsi aktiviti harian kerjaya mereka (contohnya kehidupan seharian seorang doktor atau Ketua Pegawai Eksekutif) supaya pelajar dapat menjangka apa yang bakal mereka hadapi.
PEMAHAMAN
“Perkongsian ini juga dapat memberi pemahaman kepada pelajar dalam merangka perancangan dari sekarang untuk mencapai cita-cita mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tentang struktur program, Puteri Suraiya berkata, ia berlangsung selama lapan minggu. Ia bertujuan memberi pendedahan dan bimbingan kepada ahli Pandu Puteri dalam melakar masa hadapan mereka.
Jelasnya, seiring dengan amalan norma baharu, pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan program itu secara dalam talian sepenuhnya.
“Kami menemu bual 12 individu berpengaruh dan berwibawa dari pelbagai industri dan sesi temu bual ini dimuat naik di laman Facebook setiap minggu selama lapan minggu.
“Berdasarkan temu bual, peserta diberi tugasan bersandarkan perkembangan kerjaya dan impian masa hadapan mereka dan kami akan menilai serta memberi maklum balas ke atas tugasan itu dengan harapan untuk menolong peserta melakukan pembaikan untuk tugasan seterusnya.
“Kami berharap melalui pendekatan ini, peserta dapat memanfaatkan segala pendedahan dan bimbingan untuk mengatur perancangan masa hadapan mereka, tidak kira dalam pekerjaan atau akademik setelah tamat persekolahan,” katanya.

Puteri Suraiya berkata, antara momen tidak dapat dilupakan sepanjang program berkenaan ialah kesungguhan para pelajar menyiapkan tugasan dalam memperoleh hasil berkualiti.
Ada seorang pelajar menyiapkan kerja rumahnya dengan menghasilkan lukisan animasi henti gerak. Ia sangat kreatif, inovatif dan unik.
“Kami berasa sangat seronok melihat kreativisti pelajar ini melalui hasil kerja mereka dan menyaksikan perkembangan positif dari minggu ke minggu seterusnya,” katanya.
MAHU PERLUAS GLOW UP
Puteri Suraiya berkata, menganjurkan Glow Up sememangnya harapan dan matlamat sebenar Pandu Puteri Pahang selama ini.
Jelasnya, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga Penaung Diraja Pandu Puteri Malaysia dan Presiden Pandu Puteri Pahang turut bertitah supaya Glow Up diperluaskan ke seluruh negara.
“Baginda yakin program ini dapat memberi manfaat kepada pelajar, terutamanya ahli pandu puteri yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bangsa dan agama.
“Sehubungan itu, Raja Permaisuri Agong bertitah dan menyeru agar program ini dapat dilaksanakan oleh semua cawangan Pandu Puteri dalam negara tidak lama lagi,” katanya.

JANGKA PANJANG
Puteri Suraiya berkata, Glow Up menarik minat pihak luar termasuk mereka yang bukan ahli Pandu Puteri kerana terdapat sebilangan pelajar perempuan yang ingin mengikuti program berkenaan.
Sehubungan itu, pihaknya akan menganjurkan program sama seperti Glow Up tetapi ia program bengkel keusahawanan yang lebih praktikal untuk ahli Pandu Puteri bahagian Clover yang berusia 18 hingga 30 tahun.
“Saya berpendapat bahawa program ini sangat bermanfaat buat mereka yang sedang mencari pekerjaan atau berminat untuk menceburi bidang perniagaan baru mula.
“Untuk rancangan jangka panjang pula, kami ingin mewujudkan satu platform mudah akses bagi mereka yang memerlukan khidmat nasihat atau latihan untuk mereka mencapai matlamat diri.
“Khidmat ini akan diberi oleh pihak profesional atau mentor. Perjalanan kami masih panjang tetapi saya sedar kerana wujudnya kekurangan ini, maka kita harus berusaha untuk menyediakan khidmat sedemikian kepada mereka,” katanya.
Pengharapan untuk melihat Glow Up bukan sahaja dapat membantu pelajar yang terlibat dalam membentuk laluan kerjaya masa hadapan, tetapi juga memberi kesedaran tentang kepentingan melibatkan diri dalam pelbagai program latihan kemahiran dianjurkan di luar bilik darjah.









