`2,500 profesor kita tiada kualiti’ - Dr. Arshad - Utusan Malaysia

`2,500 profesor kita tiada kualiti’ – Dr. Arshad

Tun Dr. Arshad Ayub
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tokoh pendidikan mendedahkan kualiti lebih 2,500 profesor di negara ini tidak mencapai standard diharapkan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan jumlah tenaga profesional dikerah untuk mengajar secara sambilan di universiti-universiti tempatan supaya dapat menyumbang kepakaran dan pengalaman yang diperoleh daripada industri.

Pengarah pertama Institut Teknologi Mara (ITM), Tun Dr. Arshad Ayub berkata, dengan kerjasama antara kumpulan profesional dan profesor, diharapkan ada lebih banyak artikel penyelidikan membabitkan idea di luar kotak dihasilkan seterusnya memberi sumbangan besar kepada masyarakat.

“Idea ini hendaklah sama hebat atau lebih baik daripada buah fikiran Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang mencetuskan idea penubuhan Lembaga Tabung Haji,” kata beliau dalam wawancara eksklusif bersama Utusan Malaysia di kediamannya di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sumbangan golongan profesional termasuk bukan Melayu tidak boleh dipertikai kerana mereka telah banyak berjasa sebagai pensyarah sambilan pada awal penubuhan ITM yang kemudian berkembang menjadi Universiti Teknologi Mara (UiTM), iaitu sebuah gedung modal insan terunggul bumiputera di Malaysia.

“Saya ketika menjadi Pengarah ITM kira-kira 10 tahun, saya tidak ada ijazah doktor falsafah (PhD). Saya boleh melaksanakan tugas tanpa gelaran profesor pun. Cuma kebimbangan saya di UiTM sekarang, 95 peratus pensyarah ialah Melayu berbanding 90 peratus pensyarah bukan Melayu dahulu.

“Sama ada dia guna bahasa Melayu atau Inggeris untuk mengajar, wallahuaklam. Dulu saya tetap dengan pendirian menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar walaupun ditekan Menteri Pendidikan ketika itu.

“Cuba perhatikan perbezaan graduan Melayu yang keluar dari universiti menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Mereka dari universiti berbahasa pengantar Melayu tidak mahu bekerja di sektor swasta, suka kerja kerajaan dan mendapat gaji setiap bulan,” katanya.

Dalam pada itu, Arshad mencadangkan, yuran yang dikenakan UiTM distruktur berbeza-beza mengikut kadar pendapatan ibu bapa dan bukan secara sama rata untuk semua pelajar.

“Dulu sebanyak RM625 satu semester dan saya tidak pasti kadar yuran terkini. Saya dimaklumkan ada ibu bapa bergaji RM30,000 sebulan pun menghantar anak belajar di UiTM dengan membayar yuran rendah sedangkan tempat itu adalah hak pelajar daripada keluarga miskin,” katanya. – UTUSAN

Klik sini untuk baca wawancara penuh

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×