TEKA-teki lagu yang layak ke pentas Anugerah Juara Lagu ke 37 (AJL37) terjawab apabila 12 naskhah terbaik telah dipilih untuk meneruskan perjuangan pada acara kemuncak yang akan berlangsung 12 Februari depan.
Apa yang pasti, AJL37 yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil menyaksikan pertarungan barisan komposer muda untuk membuktikan kredibiliti mereka pada acara muzik tahunan berprestij itu.
Dua nama besar, Ernie Zakri dan Aina Abdul menepati ramalan apabila mara menerusi lagu ciptaan masing-masing, Korban serta Terus Hidup, sekali gus bakal memberi tentangan hebat kepada 10 lagu lain.
Turut melangkah ke AJL37 adalah lagu Anugerah Terindah nyanyian Alif Satar & The Locos ciptaan Alif Satar, Romeo, Tam Cobain, Efry Arwis dan Shah Shamshiri; Debu nyanyian Amir Masdi dan Dayang Nurfaizah (ciptaan Mas Dewangga,Jova Devito, Firdaus Rahmat, Mike Chan, Karim Karam, Acap Salim) dan Bahagiakan Dia nyanyian Liza Hanim dan Shila Amzah (ciptaan Aliff Iskandar dan Que Afiq).
Turut terpilih Satu Malam Di Temasek nyanyian dan ciptaan sepenuhnya Sonaone dan Joe Flizzow dan Kembali Terang nyanyian Marsha (ciptaan Senna dan Jin), selain Irama nyanyian Shiha Zikir (ciptaan Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves serta Mainan nyanyian Naim Daniel (ciptaan Firdaus Rahmat, Omar K, Mas Dewangga dan Arisz Ab. Rahman).
Lagu lain yang layak adalah Nang nyanyian Iman Troye (ciptaan Ezra Kong dan A. Ramlee); Payung Pelangi nyanyian dan ciptaan sepenuhnya Noki dan MK serta Sengsara nyanyian Khai Bahar (ciptaan John Jeeves, Firdaus Rahmat, Omar K).
Ketua Juri Separuh Akhir Muzik Muzik 37 (SFMM37), Datuk Mokhzani Ismail, menyifatkan proses penjurian bagi memilih 12 lagu untuk mara ke AJL37 adalah paling sukar dilakukan sepanjang penglibatannya dalam acara berprestij itu.
“Ini adalah pertandingan SFMM yang paling sukar kerana kesemua 30 lagu yang bertanding mempunyai kekuatan dalam genre masing-masing. Kami tidak boleh memilih satu genre sahaja, malah semua 12 lagu yang layak mempunyai kelebihan tersendiri.
“Secara peribadi, saya sangat berpuas hati dengan keputusan yang telah dibuat,” katanya pada sidang media selepas selesai SFMM37, kelmarin.
Mokhzani berkata, proses penjurian juga dilakukan dengan lebih menyeluruh, merangkumi persembahan secara langsung dan kreativiti lagu dipertandingkan.
“Saya yakin dengan pilihan barisan juri yang melihat, mengkaji dan menganalisa semua lagu yang dipertandingkan. Apa yang kita teliti adalah cara penyampaian dan itu yang membezakan nyanyian dalam album dengan persembahan secara langsung.
“Kreativiti pencipta dalam menghasilkan lagu duet dan keserasian gabungan penyanyi turut diambil kira. Barisan juri melihat semua aspek tersebut secara keseluruhan.
“Lagu diangkat juga perlu ada ciri antarabangsa. Namun, elemen viral di media sosial tidak mempengaruhi pemarkahan. Apa yang penting, bagaimana sesebuah karya itu disampaikan di atas pentas,” jelasnya.
Tanggungjawab lebih besar – Ernie Zakri
Pemenang anugerah Vokal Terbaik AJL35, Ernie Zakri menyifatkan, perjalanannya ke AJL37 sebagai pengalaman yang mencabar. Katanya, dia menggalas tanggungjawab lebih besar apabila turut bertanding sebagai pencipta dan penulis lirik untuk lagu Korban.
“Saya tidak jangka akan berpeluang ke AJL37 dengan lagu yang saya hasilkan sendiri sepenuhnya. Pencapaian ini membuatkan saya semakin yakin untuk terus menghasilkan lagu.
“Apa juga keputusan pada malam kemuncak AJL37 nanti, saya anggap sebagai rezeki yang telah ditentukan,” katanya.
Dalam pada itu, Ernie memaklumkan, agak sukar membawakan Korban pada persaingan SFMM37 kerana beban dan tanggungjawab yang dipikul sebagai pemilik penuh lagu tersebut amat berat.
“SFMM37 adalah peringkat yang sukar kerana sudah lama saya tidak melalui suasana pertandingan. Memang lagu ini selalu saya nyanyikan ketika menjayakan persembahan, tetapi perasaan kali ini bercampur-baur.
“Saya cuba tetapkan fokus untuk memberikan yang terbaik. Saya sedar tanggungjawab saya amat besar kerana membawa harapan untuk diri dan juga peminat. Alhamdulillah, jalan saya dipermudahkan Allah SWT ketika menyanyikannya pada SFMM37,” katanya lagi.
Jaga keserasian vokal – Dayang Nurfaizah, Amir Masdi
Jarang mempersembahkannya secara langsung, namun Dayang Nurfaizah dan rakan duetnya, Amir Masdi tidak menyangka lagu Debu membawa tuah kepada mereka untuk beraksi di pentas AJL37.
Menurut Dayang, timbul kerisauan dalam diri sekiranya persembahan pada peringkat separuh akhir gagal menambat hati juri.
“Kami terkejut apabila lagu ini diumumkan layak ke AJL37 kerana kami jarang sekali membawakannya secara langsung.
“Ketika berlatih, saya maklumkan kepada Amir, apa yang penting adalah mempersembahkan lagu ini dengan kemas.
“Kami memberikan sepenuh tumpuan untuk SFMM37 dan tidak sangka kerja keras kami itu membuahkan hasil,” katanya.
Sementara itu, Amir pula berkata, dia dan Dayang mengutamakan keserasian dan keharmonian vokal untuk memastikan lagu itu disampaikan dengan berkesan.
“Kami kena pandai seimbangkan permainan vokal supaya ia bergerak seiring. Apapun, saya bangga kerana diberi peluang berduet dengan penyanyi hebat seperti Dayang. Meskipun lebih berpengalaman, dia sentiasa merendah diri dan banyak memberikan tunjuk ajar,” katanya.
‘Laluan lebih sukar’
AJL37 juga menyaksikan pertembungan barisan vokalis hebat seperti Liza Hanim, Aina Abdul, Ernie Zakri, Shila Amzah dan ramai lagi.
Turut mempunyai kelebihan sama, penyanyi, Marsha Milan Londoh, mengakui dia bakal menempuh laluan sukar kerana terpaksa bersaing dengan banyak nama hebat di pentas berprestij itu nanti.
“Laluan kali ini lebih sukar. Bukan sahaja dibarisi penyanyi hebat, tetapi lagu Kembali Terang juga memberikan cabaran kerana komposisinya yang ‘besar’. Saya masih memikirkan bagaimana untuk menyerlahkan lagi kekuatan lagu ini di pentas AJL37 nanti,” kongsinya.
Pada masa yang sama, Marsha berharap perjalanannya menuju AJL37 dipermudahkan dan dijauhkan daripada masalah seperti gangguan kesihatan.
“Tahun lalu, saya diuji dengan Covid-19 sebelum AJL36. Setiap kali bertanding, timbul kerisauan dalam diri mengenangkan pelbagai halangan yang tidak disangka-sangka.
“AJL bukan pentas acara remeh kerana persembahan kami nanti akan ditonton semua penggemar muzik tempatan. Saya doakan juga semua penyanyi yang bertanding diberi kesihatan yang baik,” katanya.
Kembali selepas lebih 20 tahun – Liza Hanim
Selepas lebih 20 tahun, penyanyi, Liza Hanim kembali ke pentas AJL dengan mempertaruhkan lagu duet bersama Shila Amzah, Bahagiakan Dia.
Liza meluahkan rasa syukur kerana sekali lagi berpeluang merasai suasana AJL.
“Kali terakhir saya layak ke AJL adalah menerusi lagu Gelisah Mimpi. Itu lebih 20 tahun yang lalu. Tahun depan, saya sekali lagi berpeluang memasuki acara berprestij ini.
“Saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kerana ia hanya akan membebankan diri. Saya cuma mahu buat yang terbaik. Tambahan pula, AJL sekarang berbeza daripada dulu, malah persembahan yang ditampilkan juga hebat dan ‘mega’.
“Semoga semua peserta yang bertanding dapat memberikan yang terbaik nanti,” katanya.
Tambah Liza, sebagai penyanyi senior, dia teruja dapat berkongsi pentas dengan penyanyi lebih muda.
“Ini bukan soal siapa senior, siapa junior. Persaingan itu lebih hebat kerana setiap penyanyi memiliki kekuatan masing-masing. Saya hormati mereka yang masih muda, tetapi mempunyai kekuatan tersendiri,” jelasnya.
Harapan terlaksana – Khai Bahar
Penyanyi Khai Bahar pula berkata, dia memang meletakkan harapan untuk melihat Sengsara mara ke AJL37. Katanya, keunikan lagu tersebut memberi kelebihan untuk bersaing pada pentas kemuncak nanti.
“Lagu yang menjadi runut bunyi filem Dendam Penunggu ini dihasilkan komposer dan penulis lirik hebat serta berpengalaman seperti Omar K, Firdaus Rahmat dan John Jeeve.
“Jadi, saya memang meletakkan harapan agar ia dapat masuk AJL37. Alhamdulillah, harapan itu terlaksana,” katanya.
Disoal tentang gangguan teknikal yang berlaku ketika gilirannya mempersembahkan lagu tersebut, Khai memaklumkan, situasi itu tidak mengganggu tumpuannya di pentas.
“Sebelum membuat persembahan, hati saya berdebar-debar. Sebenarnya, gangguan teknikal itu memberi ruang dan sedikit masa untuk saya bertenang. Ia membantu saya menghilangkan gementar,” jelasnya.











