NAMA Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah diumum tetapi bukan rezeki buat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memimpin negara sekali lagi. Pun begitu, prestasi cemerlangnya sebagai Perdana Menteri kelapan sentiasa dikenang seumur hidup.
Perjuangan dan kerja keras melawan korupsi demi menegakkan kebenaran terbalas selepas rakyat menzahirkan tanda sokongan kepada PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu dengan memperoleh 73 kerusi Parlimen.
Pelbagai dugaan terpaksa dilalui untuk merebut jawatan nombor satu negara walaupun dianggap sebagai pemimpin underdog jika dibandingkan dengan pencabarnya. Sebelum ini, Muhyiddin terpaksa meletak jawatan selepas hilang majoriti sokongan ahli Parlimen pada 16 Ogos 2021.
Muhyiddin antara tokoh politik dalam UMNO yang kuat memperjuangkan kebenaran dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga menyebabkan beliau digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Ekoran kelantangan beliau itu, kes 1MDB berjaya mendapat liputan meluas sehingga tindakan undang-undang sewajarnya diambil terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau adalah figura yang paling ‘melekat’ di hati rakyat semasa negara terumbang-ambing selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan pada 24 Februari 2020 dan kebetulan negara berdepan permulaan pandemik Covid-19 yang memerlukan seorang pemimpin berkaliber untuk mentadbir negara. Dan ketika itulah wira yang digelar ‘Abah’ oleh rakyat muncul sebagai ‘penyelamat’ yang mengakhiri kemelut politik daripada berterusan.
Bermula dari situ, beliau menggunakan segala kepakaran, kuasa dan saluran sedia ada untuk cuba menangani situasi semasa negara melalui pembelian vaksin, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menyusun prosedur operasi standard (SOP), pemberian moratorium, pinjaman serta bantuan kewangan dan sebagainya.
Beliau seboleh-bolehnya cuba meringankan beban rakyat walaupun dunia berdepan ketidakstabilan ekonomi. Baginya, rakyat perlu diutamakan. Kecekapan pentadbirannya ketika menguruskan Covid-19 diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai antara negara terbaik dalam menguruskan pandemik berkenaan.
EKONOMI PASCA COVID-19
Sepanjang pentadbirannya selama 17 bulan, Muhyiddin merangka pelbagai pelan dalam usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) pasca Covid-19. Antaranya, beliau menawarkan insentif tambahan dalam usaha menjadikan Malaysia destinasi pilihan utama pelabur asing walaupun negara mengalami situasi getir melawan penularan Covid-19.
Dalam tempoh tersebut, beliau juga berjaya meningkatkan pelaburan dalam negara dengan mewujudkan 33,907 pekerjaan baharu yang mana 76 peratus daripada jumlah itu merupakan kategori mahir dan separuh mahir. Ini adalah sebahagian sasaran 160,000 pekerjaan baharu hasil komitmen pelaburan pada 2021.
ZON EKONOMI KHAS PAGOH
Walaupun masih dalam kebimbangan pandemik, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, berjaya menarik lebih RM200 juta dalam bentuk komitmen pelaburan pertama untuk fasa pertama Wilayah Utara Johor.
Wilayah Utara Johor bakal menjadi sebuah zon ekonomi berimpak tinggi menjelang 2045 dengan tertubuhnya kawasan pembangunan Zon Ekonomi Khas Pagoh sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi di kawasan itu.
Penglibatan Muhyiddin dalam politik bermula apabila beliau menyertai UMNO sebagai ahli biasa di Bahagian Pagoh pada 1971 sebelum dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO bahagian itu dan Setiausaha pada 1976. Kemudian beliau menjadi Ketua Pemuda UMNO Johor sehingga 1987.
Muhyiddin menduduki kerusi Exco dalam Pemuda UMNO. Pada 1984, Muhyiddin dipilih sebagai Ketua Bahagian Pagoh menggantikan Tan Sri Othman Saat. Kemudiannya beliau menjadi ahli majlis eksekutif negeri sehingga menjadi Ketua UMNO Johor sebelum menjawat jawatan Menteri Besar.
Muhyiddin bertanding dan dipilih sebagai Ahli Parlimen Pagoh sejak 1978 dan mengekalkan kerusi tersebut sehingga 1982. Beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Luar Negeri; kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Menteri di Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Perdagangan dan Industri.
Pada PRU 1986, Muhyiddin bertanding dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Serampang yang membuka jalan bagi beliau untuk menjadi Menteri Besar Johor pada 13 Ogos 1986 sehingga 6 Mei 1995.
Beliau berkhidmat dengan beberapa jawatan Kabinet sebagai Menteri Belia dan Sukan (1995-1999), Menteri Hal Ehwal Pengguna (1999-2004), Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2004-2008) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri 2008-2009). Beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan oleh Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2009.
Pada Ogos 2016, Muhyiddin mendaftarkan parti politik baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama Dr. Mahathir. Selepas 22 bulan berada dalam blok kerajaan Pakatan Harapan (PH), Bersatu menarik diri berikutan kehilangan sokongan orang Melayu akibat tindak-tanduk beberapa pihak di dalam PH terutamanya DAP yang dilihat gagal menjaga sensitiviti orang Islam dan masyarakat pelbagai kaum.
Ekoran kemelut dalam kerajaan ketika itu, Dr. Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh dan Pengerusi Bersatu. Baru-baru ini, Muhyiddin menolak tawaran Anwar untuk menyertai kerajaan baharu dan memilih mahu mengukuhkan demokrasi dengan memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa.
Semoga Muhyiddin bersama parti-parti dalam pembangkang dapat memainkan peranan sebagai semak dan imbang kepada kerajaan di Parlimen. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










