JOHOR BAHRU: Kontraktor binaan yang mendapat projek atau tender sebelum harga barang binaan naik mendadak kini tersepit apabila terpaksa menampung kos tambahan ekoran perbezaan harga tersebut.
Sebagai contoh, kontraktor sebuah syarikat yang mendapat kerja pembinaan bernilai RM30,000 pada awal Disember lalu, kini terpaksa menambah kira-kira 30 peratus lagi kos tambahan terbabit apabila beberapa barangan naik harga.
Bukan sahaja besi yang kini mencecah harga antara RM28 bagi setiap batang berbanding RM20 sekitar pertengahan lalu, malah barangan lain seperti simen turut mencecah RM18 disebabkan kenaikan sekitar RM3 bagi setiap kampit.
Keadaan itu juga menyebabkan sesetengah kontraktor mengambil jalan selamat dengan ‘berehat’ sementara sebelum memasuki apa-apa tender kerana mereka tidak mahu terperangkap dengan kenaikan harga yang dijangka terus meningkat.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Johor, Ir. Mahmood Amir berkata, situasi sama turut berlaku di negeri itu apabila keluhan daripada kontraktor termasuk ahli mereka diterima persatuan kebelakangan ini.
“Dalam masa sebulan memang berlaku kenaikan tinggi harga barangan binaan seperti harga besi yang naik mendadak sehingga menjejaskan kontraktor yang mendapat kerja (projek).
“Sekiranya syarikat terlibat tidak mempunyai modal yang kukuh, keadaan itu menyukarkan mereka untuk menanggung kenaikan kos bahan binaan kerana kebanyakan mereka memasuki tender mengikut harga sebelum ini sedangkan proses pembinaan mengambil masa,” katanya.
Jumaat lalu, Utusan Malaysia melaporkan, selepas berbulan-bulan menghentikan kerja-kerja pembinaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, kini kontraktor bukan sahaja berdepan PKP kali kedua tetapi harga barang binaan pula naik sehingga mencecah 30 peratus.
Dilema kontraktor binaan tersebut dirasai sejak November tahun lalu selepas harga barangan asas pembinaan khususnya besi yang semakin mahal dan berterusan sehingga hari ini.
Menurut Mahmood, keadaan serupa pernah berlaku beberapa tahun lalu tetapi pada waktu itu kerajaan memperkenalkan program perubahan harga barangan dengan menyediakan bantuan khusus bagi menanggung kenaikan kos.
Bagaimanapun, ujar beliau, program itu dibatalkan dan tiada lagi bantuan kerajaan untuk mengatasi perbezaan harga barangan selepas itu. – UTUSAN ONLINE











