PUTRAJAYA: Keputusan akhir pelantikan Perdana Menteri adalah bersandarkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat pemilihan dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti.
Perkara itu sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr Kartini Aboo Talib berkata, jika masih sukar dan buntu dalam pemilihan Perdana Menteri termasuk tawaran untuk pembentukan Kerajaan Perpaduan, maka seharusnya baginda membenarkan kerajaan minoriti diteruskan.
Beliau menjelaskan, keadaan itu sebagaimana model westminster seperti diamalkan Parlimen United Kingdom (UK) yang telah lama melalui parliment hung atau Parlimen tergantung sejak tahun 1923, 1974, 1976-1978, 2010 dan 2017 kerana ketiadaan majoriti.
“Perdana Menteri dipilih hasil undian individu ahli Dewan Rakyat. Tak perlu bergabung kerana setiap gabungan parti masing-masing enggan berbuat demikian,” katanya di sini semalam.
Kartini berkata, bagaimanapun, pembentukan kerajaan minoriti menimbulkan isu lain terutamanya dalam pelantikan ahli Kabinet selepas kerajaan minoriti dibentuk untuk memilih mereka yang memegang jawatan portfolio Menteri dan Timbalan Menteri.
Katanya, situasi itu boleh berlaku jika tidak ada sebuah kerajaan yang kukuh.
“Kerajaan minoriti bermakna akan berhadapan dengan “gridlock” iaitu sukar membuat keputusan yang memerlukan dua pertiga majoriti ahli Dewan bagi sebarang pindaan atau pelaksanaan dasar,” katanya.
Dalam kenyataan Istana Negara kelmarin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin menyatakan, kesemua 30 ahli Parlimen daripada BN dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah secara individu bertujuan agar baginda dapat membuat keputusan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang bagi hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.
Bagaimanapun, BN meminta penangguhan sesi menghadap itu selepas beberapa mesyuarat BN kekal tidak memihak Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).
Dalam pada itu, Pakar Perlembagaan, Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, kerajaan minoriti adalah kerajaan yang mempunyai jumlah sokongan minoriti tetapi masih kekal dan tidak dijatuhkan oleh pembangkang atas sebab tertentu.
Katanya, sebagai contoh wujudnya perjanjian atau persefahaman (MoU) atau Perjanjian Transformasi dan Kestabilan Politik (CSA) atau kerana tidak dijatuhknn oleh undi tidak percaya.
Bagaimanapun, beliau percaya Yang di-Pertuan Agung membuat keputusan melantik mana-mana ahli Dewan Rakyat difikirkan baginda mendapat sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri tanpa melihat siapa mendapat majoriti tertinggi.
“Perdana Menteri perlu mempunyai kepercayaan majoriti untuk memimpin kerajaan sama ada dengan membawa ‘usul percaya’ ke Dewan Rakyat apabila Parlimen ke-15 bersidang dalam tempoh 120 hari dari tarikh pembubarannya, atau dengan mengadakan persefahaman dengan pembangkang, atau membentuk kerajaan perpaduan.
“Itu bukannya tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk membuktikan pilihan baginda sebagai Perdana Menteri sudah mendapat kepercayaan majoriti,” katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Pusat Polisi Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, terpulang kepada BN untuk membuat keputusan untuk sokongan pembentukan kerajaan dengan melihat kepentingan negara dan rakyat juga selain kepentingan parti.
Malah, beliau berkeyakinan BN mampu membuat pertimbangan terbaik, cuma proses keputusan seeloknya secara kolektif dan konsisten.
Katanya, ini termasuk keputusan dalam sokongan pelantikan Perdana Menteri melalui akuan bersumpah (SD) juga perlu dibuat secara kolektif, iaitu bukan secara individu.
“Kalau secara kolektif tak nak menyokong sesiapa, elok izinkan ahli Parlimen menyatakan sokongan kepada mereka yang disukai supaya negara ada Perdana Menteri majoriti. Kalau tak, kekal tergantung dan mungkin terpaksa pilih Perdana Menteri minoriti,” katanya. – UTUSAN










