PETALING JAYA: Kemelut pembentukan Kerajaan Persekutuan yang tergantung sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) Sabtu lalu mungkin berakhir dengan penubuhan kerajaan perpaduan atau kerajaan minoriti.
Pembentukan kerajaan perpaduan dibayangkan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Barisan Nasional (BN) menyokong sebarang keputusan pembentukan kerajaan baharu sama ada berbentuk perpaduan atau campuran.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, titah tersebut dikeluarkan Seri Paduka ketika beliau, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir semasa sesi menghadap di Istana Negara semalam.
Menurut beliau, pada hemat baginda, masalah kerajaan tergantung boleh diselesaikan dengan penubuhan kerajaan perpaduan.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, oleh itu Agong mahu BN memberi sokongan kepada perkara itu jika baginda membuat keputusan untuk membentuk kerajaan dan melantik seorang anggota Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu.
IDEOLOGI
“Dalam pertemuan selama 30 minit itu, baginda minta perpaduan rakyat dan pelbagai agama menjadi keutamaan. Seri Paduka juga minta ketepikan perbezaan ideologi dan fahaman politik masing-masing.
“Jadi untuk itu, kalau Tuanku buat keputusan untuk membentuk kerajaan dan melantik seseorang jadi Perdana Menteri yang baharu, Baginda minta BN beri sokongan kepada cadangan itu (Kerajaan Perpaduan),” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.
Selain berjumpa dengan tiga wakil BN, Yang di-Pertuan Agong semalam turut mengadakan pertemuan dengan wakil pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Antaranya Datuk Seri Fadhillah Yusuf, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi , Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Datuk Aaron Ago Dagang tiba di Istana Negara.
Selepas pertemuan dua wakil parti itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda menitah perkenan untuk Istana Negara menganjurkan satu Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu hari ini.
PERDANA MENTERI
Menurut beliau, menerusi perbincangan itu di-Pertuan Agong akan mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu berhubung pelantikan Perdana Menteri ke-10.
“Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini adalah bertujuan Seri Paduka Baginda mendapatkan pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bagi Baginda membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat,” kata Ahmad Fadil.
Menurut beliau, proses itu adalah susulan daripada sesi-sesi menghadap ketua-ketua dan wakil gabungan atau parti yang berlangsung pada semalam dan kelmarin.
Sementara itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, pelantikan Perdana Menteri dan pembentukan kerajaan boleh dilakukan walaupun tiada gabungan atau parti mencapai majoriti mudah iaitu jumlah sokongan 112 ahli parlimen.
Menurut beliau, keadaan itu hanya berlaku sekiranya terdapat satu gabungan atau parti sahaja yang memperoleh kemenangan terbanyak selepas pilihan raya umum (PRU) berbanding parti-parti lain.
Kata beliau, berdasarkan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri iaitu seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti antara mereka.
MENANG
“Tafsiran ‘kepercayaan majoriti’ ini bermaksud seorang Ahli Dewan Rakyat memiliki sokongan wakil rakyat. Contohnya, jika parti A menang 105, tetapi parti lain kurang daripada jumlah ini, maka mereka boleh membentuk kerajaan dan memilih salah seorang wakil rakyat sebagai Perdana Menteri.
“Tetapi demi menjaga kestabilan kerajaan, adalah lebih baik memperoleh sokongan majoriti mudah 112 kerusi atau lebih agar bagi mengelakkan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat kelak,” katanya ketika dihubungi.
Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada parti memperoleh majoriti mudah dengan Pakatan Harapan (PH) memiliki jumlah terbanyak iaitu 82 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) 73 dan diikuti BN 30 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam), Parti Warisan Sabah (tiga), Parti Kesejateraan Demokratik Malaysia (KDM) (satu), Parti Bangsa Malaysia (satu) dan Bebas (dua).
Kelmarin Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencadangkan supaya Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan perpaduan.
PERPADUAN
Sekiranya PH dan PN gagal mewujudkan kerjasama kerajaan perpaduan atau menarik sokongan mana-mana parti lain untuk mencukupkan majoriti mudah 112 kerusi, maka salah satu gabungan parti itu yang memiliki kerusi terbanyak hendak diberikan laluan membentuk kerajaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Abu Talib menolak istilah kerajaan minoriti kerana Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan lantikan Perdana Menteri dan pembentukan kerajaan hendaklah mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
“Perlembagaan sebut mendapat kepercayaan majoriti, jadi kena dapat sokongan majoriti. Jadi tiada istilah kerajaan minoriti seperti diuar-uarkan oleh sesetengah pihak,” katanya.
Katanya, terserah kepada kebijaksaan Seri Paduka untuk menentukan bagaimana kaedah pada hemat mendapat mendapat majoriti itu.
“Hal ini kerana pelantikan Perdana Menteri merupakan bidang kuasa Agong dan bukannya ditentukan oleh parti. Tetapi mestilah mendapat kepercayaan Dewan Rakyat dan bukannya sembarangan wakil rakyat,” katanya.
PERLEMBAGAAN
Bagi pengamal undang-undang, Datuk Ikbal Salam berkata, Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan mekanisme atau prosedur bagi menentusahkan bagaimana seseorang ahli parlimen itu mempunyai kepercayaan majoriti walaupun Agong mempunyai kuasa luas untuk menentukan siapakah yang mempunyai majoriti untuk menjadi Perdana Menteri.
“Maka, dalam situasi ini tentunya rakyat Malaysia bergantung kepada kebijaksanaan Seri Paduka untuk melakukan semua ujian yang difikirkan sesuai manfaat untuk mendapat kepastian tersebut,” katanya.
Ikbal menambah, sebagai contoh kebijaksanaan Seri Paduka diperlihatkan sebaik sahaja kejatuhan kerajaan PH ketika Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan pada 2020 apabila Agong memanggil semua ahli parlimen dan setelah mengambil kira pandangan Majlis Raja-Raja, akhirnya Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri.
Beliau menambah, rakyat Malaysia masih mengharapkan Institusi Raja-Raja Melayu menjadi pengimbang kepada kepanasan suhu politik semasa pasca PRU15 dan akhirnya kerajaan yang dibentuk akan dapat menjadi kerajaan yang stabil dan memacu semula negara kita keluar dari kemelut politik demi untuk kebaikan rakyat Malaysia.- UTUSAN










