Songket ratu kain, tampil jati diri Melayu - Utusan Malaysia

Songket ratu kain, tampil jati diri Melayu

Norwani Md. Nawawi (tiga dari kiri) dan Norazman Osman menunjukkan buku Keindahan Tenun Songket Malaysia pada Festival Seni Hidup 2022 di MaTIC baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Kain songket tenunan anak Melayu, tapi sayang tidak boleh dipakai selalu,”. Itu antara bait lagu nyanyian Allahyarham Puan Sri Saloma.

Lagu itu menjadi latar persembahan koleksi songket milik Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) sempena Festival Seni Hidup yang berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC) baru-baru ini.

Lima persalinan baju songket wanita dan lelaki serta lima lagi kain songket lepas turut dipamerkan pada persembahan berkenaan. Keindahan seni songket mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai representasi Senarai Warisan Tidak Ketara Kemanusian pada tahun 2021.

Baju songket kurung Pahang dan kebaya menyerlahkan penampilan pemakai dengan warna-warna lembut seperti merah jambu, biru muda dan kelabu untuk wanita.

Aksesori tradisional seperti dokoh dan tali pinggang klasik keemasan menambah gaya anggun pemakainya.

Lebih menawan dengan cucuk sanggul, gelang tangan dan kaki bermotif klasik.

Lelaki pula tampil dengan baju Melayu Teluk Belanga berwarna ceria seperti hijau muda dan jingga. Lengkap dengan tengkolok dan kain samping juga dari songket.

Turut digayakan kain songket himpunan Kraftangan Malaysia dengan motif tradisional seperti bunga manggis dan bunga pecah empat dalam warna-warna pastel seperti putih krim, ungu, hijau dan keemasan.

Seme­mangnya kain songket jarang digayakan di tempat-tempat awam kerana kebanyakan orang menggayakannya hanya di majlis istimewa dan eksklusif.

Tambahan pula kain songket sukar dijaga kerana ia tidak boleh dicuci seperti kain-kain lain.

Namun ‘ratu kain’ kain ini semakin terpinggir dalam kemeriahan fabrik moden sedangkan nilai estetika yang terdapat dalam kain tenunan ini amat tinggi nilainya dan tiada taranya dengan fabrik lain.

Penyelidik songket, Prof. Dr. Norwani Md. Nawawi, berkata generasi baharu sepatutnya perlu mengenali seni tenunan songket kerana ia lambang jati diri orang Melayu dan kepakaran warisan zaman ke zaman.

“Dalam satu kain songket, terdapat pelbagai motif dan corak yang ditenun yang menggambarkan kemahiran dan kehalusan seni orang Melayu. Semuanya berasaskan alam semulajadi terutama tumbuh-
tumbuhan.

“Walaupun songket kini sudah dimodenkan, ia perlu terus dipelihara oleh generasi baharu. Tidak salah menggabungkan motif baharu asalkan corak lama tidak dilupakan. Songket moden hari ini lebih berwana-warni berbanding songket lama,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau tampil anggun dengan baju kurung songket Terengganu rona hijau gelap dan selendang daripada kain limar bersongket berwarna merah. Selendang itu juga turut dipenuhi motif unik iaitu bunga kemuncup, bunga melur, bunga pecah empat, pokok jitong atas bukit dan pagar istana.

Membongkar kisah songket dalam buku
Dr. Norwani ditemui selepas majlis pelancaran buku hasil tulisan beliau, Keindahan Tenun Songket Malaysia sempena Festival Seni Hidup 2022 yang berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC) baru-baru ini. Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Norazman Othman.

Buku setebal 294 muka surat itu diterbitkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dibawah Transformasi Digital JKKN selaras revolusi IR 4.0. Buku ini dicetak secara fizikal dan digital melalui kandungan digital Augmented Reality (AR).

Para pembaca akan dibawa meneroka keindahan tenun songket ini menerusi penggunaan Mobile Apps Android dan Apple Store.

Pengalaman bekerja sebagai pereka songket di Kraftangan Malaysia pada tahun 1980 membuatkan Dr. Norwani banyak membuat kajian sejarah songket.

“Keistimewaan buku ini adalah kerana ia mendedahkan sejarah songket dari Langkasuka dan memperlihatkan keindahan kain tenun songket Malaysia menerusi perkembangan sejarah dari dahulu sehingga kini, motif, corak, warna, kegunaan, jenis dan teknik penghasilan songket, songket tradisional dan kontemporari serta pengusaha-pengusaha tenun songket di seluruh Malaysia,” katanya.

Sepanjang tahun 2021, penyelidikan dijalankan di negeri Terengganu, Kelantan, Melaka, Johor dan Sarawak. Pada tahun 2022, buku ini telah berjaya diterbitkan melalui penerbitan dwi-bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Selaras dengan pencapaian dan pengiktirafan oleh UNESCO, penerbitan buku ini sebagai sokongan dalam usaha pelestarian songket sebagai salah satu Warisan Tidak Ketara Negara.

“Saya suka corak-corak lama tetapi apabila saya masuk ke Kraftangan, saya kenalkan corak baharu namun masih berasaskan corak lama.

“Pada tahun 1981, saya buat rekaan baharu dan kebanyakan rekaan ini saya salurkan pada Kraftangan di Terengganu. Dari situ, bermula corak baharu menjadikan tenunan songket semakin halus,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×