Pelbagai perintah kawalan berlangsung membuka tirai 2021 mengawal peningkatan pandemik Covid-19 dalam negara, memberikan implikasi kepada semua orang tidak kurang remaja.

Pensyarah Psikologi Dakwah Remaja, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Fariza Md. Sham memberikan jawapan dan tips menjadi remaja cemerlang.
Seri: Remaja terabai lantaran perintah kawalan. Bagaimana perkembangan psikologi mereka?
Dr. Fariza: Dalam kajian psikologi Islam, remaja diistilahkan sebagai murahaqah iaitu satu peringkat umur yang begitu teruja untuk mengetahui dunia luar sama ada yang baik atau yang buruk.
Situasi ini sama sekali berubah apabila pandemik Covid-19 berlaku dan perintah kawalan dilaksanakan hingga kini. Suasana yang terkurung atau terperap di rumah sebegini sudah tentu mengganggu gugat atau menjejaskan perkembangan psikologi, mental dan fizikal remaja.
Ada sesetengah remaja hilang arah tuju terutama apabila proses pembelajaran tidak berlaku di sekolah dan belajar di rumah tidak kondusif.
Kesibukan kita membincangkan isu Covid-19 dan impak pandemik kepada ekonomi dan politik tanpa disedari remaja terpinggir. Kita mungkin mengharapkan golongan ini sendiri dapat melakukan penyesuaian diri tanpa sokongan sewajarnya daripada masyarakat.
Apakah bentuk sokongan diperlukan?
Kurang perhatian ibu bapa dan masyarakat terhadap golongan remaja dibimbangi dalam suasana PKP ini, remaja hilang arah dan tidak fokus kepada pembelajaran terutama apabila sekolah ditutup.
Sekolah – harus melaksanakan proses pembelajaran secara online mengikut jadual sepertimana di sekolah.
Bagi pelajar yang kurang pencapaian internet, pihak guru atau sekolah perlu kreatif untuk mengajar kaedah yang lain. Kita tidak boleh berterusan membiarkan remaja terabai dari segi akademik dan juga pembentukan sahsiahnya.
Ibu bapa – perlu sentiasa memantau pembelajaran anak dengan lebih kerap dan memberi sokongan.
Cipta suasana belajar, dan juga riadah sesama sendiri agar remaja tidak rasa bosan dan stres ketika tempoh PKP.
Kadangkala remaja tiada kemudahan online ?
Pihak sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh menggerakkan untuk mendapatkan data bagi pelajar yang tidak mempunyai gajet atau wifi bagi proses pembelajaran.
Dengan data ini, PIBG boleh membantu mendapatkan bantuan sama ada melalui dana PIBG sendiri atau mengusahakan mencari dana tajaan. Masyarakat kita sangat prihatin cuma kadang-kala kita tidak mendapat maklumat menyebabkan bantuan tidak dapat diberi.
Bentuk bantuan dan sokongan boleh diberikan?
Pihak Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat mungkin boleh menyediakan inisiatif dan program sesuai melalui online atau media sosial yang boleh membantu remaja memupuk bakat, kreativiti dan perkembangan minda yang sihat dengan kerjasama pelbagai agensi dan NGO.
Wujudkan Jawatankuasa Taskforce terdiri daripada pelbagai kepakaran dan pemimpin remaja sendiri untuk membantu pihak kementerian dalam merangka inisiatif dan aktiviti sesuai dengan mereka.
Tips menjadi remaja cemerlang
Patuh kepada ajaran agama, ibu bapa dan guru.
Tenaga yang banyak perlu difokuskan kepada dunia pembelajaran dan akademik.
Perlu bijak memilih sahabat yang baik dan jangan terlalu percaya sahabat secara maya.
Menetapkan matlamat hidup untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat.
Membina personaliti dan karakter yang positif dan baik.










