SEPANJANG bergelar ahli keluarga diraja, Puteri Diana sering dilihat sebagai seorang puteri yang bermasalah.
Sisi peribadinya sememangnya berbeza dan tidak menepati kehendak serta cita rasa kerabat diraja lain.
Sesungguhnya bagi Diana, tiada buku peraturan dalam kamus hidupnya untuk mengikut peranan baharunya sebagai Puteri Wales itu.
Semuanya bermula semasa beliau mengandungkan anak pertama, Putera William.
Diana berasa sangat sedih sepanjang tempoh kehamilan ditambah dalam usia perkahwinan yang masih baharu, dirinya dipaksa melakukan pertunangan dengan suaminya di depan khalayak awam mengikut adat pemerintahan beraja.
Puteri itu cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu serba mewah dan penuh protokol.
Lebih menyedihkan, puteri itu tidak pernah menerima sekelumit penghormatan daripada suaminya mahupun keluarga baharunya.
Bagi figura seperti Diana, tanpa penghargaan tersebut sememangnya menjadi satu masalah kritikal buat dirinya.
Hal ini kerana puteri itu berasal dari keluarga yang bercerai-berai malah tiada apa yang diinginkan selain diraikan dalam keluarga diraja tersebut.
Diana malah merasakan tidak disayangi oleh kerabat diraja lain dan hanya mampu memendamkan masalah itu dalam hatinya.
DIANGGAP BERMASAALAH
Dalam masa sama, beliau tidak mempunyai pengalaman hidup untuk memahami sepenuhnya transisi perubahan dalam kehidupannya.
Menurut biografi diraja Puteri Diana yang ditulis oleh Andrew Morton, Diana: Her True Story-In Her Own Words, puteri itu sememangnya menjangkakan cabaran serta duri dalam realiti kehidupan keluarga monarki itu.

kedua-duanya cuba memulihkan keadaan. – AFP
Diana diserang bulimia nervosa iaitu gangguan tingkah laku pemakanan yang boleh menyebabkan penurunan berat badan ketara sehinggakan puteri itu cuba menyakiti dirinya sendiri termasuk semasa mengandungkan Putera William.
Mungkin itu adalah ubat terbaik buat Diana mencari sisi kebahagian dalam kehidupan norma baharunya walaupun dengan cara yang salah.
Puteri kesayangan ramai itu pernah menjatuhkan dirinya sendiri dari tangga yang boleh menyebabkan kecederaan.
“Dia sedar dirinya sekarang dilihat sebagai bermasalah oleh keluarga diraja lain,” tulis Morton.
Hampir setiap minit Diana mengalami gejala bulimia sehinggakan beliau beberapa kali melakukan percubaan membunuh diri kerana merasakan kedudukan yang dimilikinya sangat sukar.
Walaupun dibelenggu masalah tersebut, Diana ternyata seorang cekal dan mampu mengatasi masalah sendiri untuk menjadi lebih kuat daripada sebelum ini.
Diana mula memandang ke hadapan dengan memenuhkan jadual hariannya menerusi kerja-kerja yang bermanfaat.
SKANDAL SUAMI
Hati wanita mana yang tidak hancur, apabila mengetahui suaminya, Charles sudah lama mempunyai skandal dengan Camilla Parker Bowles. Ia benar-benar mengecewakan Diana.

Diana sering kali bertanyakan suaminya mengenai hubungan sulit tersebut, malah berani berdepan dengan wanita perampas itu supaya menyedari tentang hubungan sulit yang mengganggu rumah tangganya.
Masalah hubungan Putera Charles dan Puteri Diana dilaporkan sudah pun bermula sebelum mereka melangsungkan perkahwinan.
Ada pihak mendakwa Charles sebenarnya ‘terpaksa’ berkahwin dengan Diana bagi menyembunyikan hubungan sulitnya dengan Camilla, malah, bapanya, Putera Philip menasihatkan beliau sama ada putuskan hubungan dengan Diana atau berkahwin dengannya.
Namun, majlis perkahwinan diraja gilang gemilang antara Diana dan Charles tidak menggambarkan kebahagiaan sebenar pasangan tersebut.
Diana dilaporkan paranoid istana cuba mengawal kehidupannya dan Charles pula masih bertemu dengan Camilla secara senyap-senyap.
Semasa berbulan madu, hubungan Diana dan Charles semakin tegang apabila sering menangis di dalam bilik dan tidak selalu menyertai majlis makan malam bersama keluarga diraja.
Tindakan itu menyebabkan Diana dilabel sering melanggar protokol istana dan ‘memberontak’.
Akibat hubungan yang tidak bahagia, ditambah dengan tekanan hidup di dalam istana, Diana yang mula menghadapi masalah pemakanan menyaksikan tubuhnya mula susut hari demi hari.
Malahan, puteri itu juga dilaporkan sering cuba mencederakan diri.
Antara ayat yang sering diungkapkan Charles kepada Diana termasuklah ‘apa lagi Diana? apa lagi yang saya cakap hingga buat awak menangis?’.
Charles juga sering meyakinkan Diana bahawa hubungannya dengan Camilla sudah menjadi ‘sejarah’ dan cuba menenangkan isterinya.
Namun, setiap kali perkara itu berlaku, hubungan mereka semakin retak.
Charles pernah mencadangkan Diana berjumpa pakar psikologi dan mengambil ubatan untuk mengatasi masalah bulimia dan kemurungannya.
Namun, Diana enggan sebaliknya meneruskan kehidupannya dengan penuh ranjau sehingga pasangan tersebut bercerai pada 28 Ogos 1996.
Sekalipun Diana didakwa bermasalah buat keluarga kerabat diraja itu, beliau memainkan peranan sangat penting menerusi gelaran serta kedudukan dimilikinya.
Diana mengatasi masalah dalamannya dengan melakukan kebaikan dan kerap mengambil bahagian dalam aktiviti kebajikan.
Walaupun beliau mati secara tragis dalam kemalangan kereta pada 1997, puteri itu masih diingati dunia kerana sehingga hari ini namanya masih disebut dan dikenang sepanjang zaman.










