Negara berpecah, proses penyembuhan perlu bermula - Utusan Malaysia

Negara berpecah, proses penyembuhan perlu bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN pilihan raya sudah diketahui selepas pertarungan sengit selama dua minggu. Secara ringkas tiada satu parti mendapat majoriti mudah 112 kerusi dan parlimen tergantung.

Buat kali pertama dalam sejarah, tiada parti mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan. Malah, dalam PRU14, Pakatan Harapan (PH) mendapat cukup undi untuk membentuk kerajaan yang berkuasa selama 22 bulan.

Sementara PN dan PH, parti terbesar yang memenangi PRU15, memulakan proses tawar menawar dan jual beli dengan parti lain untuk menubuhkan kerajaan, beberapa perkara jelas dilihat berdasarkan keputusan PRU15.

Walaupun pahit diterima, tsunami Melayu melanda Semenanjung. Barisan Nasional dan UMNO ditolak sebahagian besar pengundi Melayu. Mereka menukar selera dengan memilih PN sebagai parti alternatif Melayu.

Perlis, Kedah dan Perak menyaksikan kebangkitan pengundi Melayu yang memilih PN selain Pas mengukuhkan pengaruhnya di Kelantan dan Terengganu selain mula mendapat tempat di Pahang. PN dijangka mengetuai kerajaan di Perlis, Perak dan Pahang. Secara ringkas negeri utara Semenanjung (kecuali Pulau Pinang) dan pantai timur semuanya didominasi PN.

Keadaan berbeza di bandar-bandar besar yang ada majoriti pengundi bukan Melayu. PH mengekalkan penguasaan walaupun beberapa kubu kuat PH seperti Permatang Pauh tumbang. PH kukuh di Pulau Pinang, sebahagian Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Melaka dan Johor.

Gerakan Tanah Air (GTA) pakatan baharu yang mewakili orang Melayu ditolak sepenuhnya dengan hanya 0.7 peratus undi popular manakala Warisan gagal mengembangkan sayapnya ke Semenanjung.

Apa yang menarik, pengundi muda telah keluar beramai-ramai walaupun mengeluh terpaksa berdiri hampir tiga jam. Peratusan keluar mengundi 73.89 peratus atau 15.37 juta pengundi yang terbabit dalam proses memilih kerajaan memberi kelebihan kepada PH dan PN dengan kedua-dua parti menguasai undi popular.

Jumlah yang keluar mengundi juga lebih tinggi berbanding hampir 13 juta yang memilih kerajaan tidak sampai lima tahun lalu. Semua ini memberi kesan kepada keputusan akhir pilihan raya.

Apa yang jelas berdasarkan keputusan PRU15, Malaysia kini dipecahkan mengikut demografi berdasarkan kaum selain bandar besar, pekan dan luar bandar. Penolakan orang Melayu terhadap BN atau UMNO adalah jelas yang memberi kelebihan kepada PN.

Ia bukan perkara di luar jangka. BN mula kehilangan sokongan sejak PRU pada 2008 apabila pakatan itu bukan sahaja hilang dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat tetapi kehilangan Kedah, Pulau Pinang, Perak, dan Selangor, selain pembangkang mempertahankan Kelantan.

Apa seterusnya untuk Malaysia? Malaysia kini berpecah berdasarkan demografi negeri, keperluan penduduk bandar dan pekan kecil serta pecahan kaum.

Ini bukan Malaysia yang lahir sejak 1957. Proses penyembuhan dan mengubati perpecahan atau healing process mesti bermula tidak kira oleh ahli politik, parti dan rakyat negara yang mencintai negara ini. Atau kita berisiko untuk terus ketinggalan sehingga akhirnya tiada apa yang dimenangi.

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.