PUTRAJAYA: Jaminan kerajaan terhadap setiap wang simpanan lebih sembilan juta pendeposit Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) akan tetap dipertahankan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan, perkara itu menjadi keutamaan kerajaan kerana Tabung Haji adalah kebanggaan dan harapan umat Islam di negara ini.
Beliau menjelaskan, prestasi cemerlang Tabung Haji sejak peralihan kerajaan berjaya membuktikan kestabilan tadbir urus agensi berkenaan.
Hal ini, kata beliau, dapat dibuktikan antaranya menerusi pembelian Menara VSQ1 daripada Bukit Damansara Development Sdn. Bhd. dengan harga RM147 juta selain merekodkan jumlah deposit Tabung Haji sehingga 30 Disember tahun lalu sebanyak RM75.9 billion.
“Kita berada di landasan betul dan dengan sokongan umat Islam di Malaysia, amanah umat Islam untuk melihat Tabung Haji terus menapak ke hadapan akan dijunjung setingginya,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau mengulas laporan berita berhubung dakwaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mahu memansuhkan jaminan kerajaan terhadap wang simpanan pendeposit Tabung Haji.
Laporan itu turut memberi salah faham kepada pelbagai pihak termasuk Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajidi Dusuki yang menentang sekeras-kerasnya usaha kerajaan menyemak semula ketetapan jaminan kerajaan termasuk pindaan ke atas Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
Zulkifli berkata, laporan berita berkenaan sama sekali tidak benar, sekali gus tidak menggambarkan pendirian kerajaan dalam hal tersebut.
Menurut beliau, perbincangan bersama Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam adalah berkaitan isu-isu penstrukturan semula yang bakal membawa keberhasilan tinggi khususnya bagi manfaat para pendeposit Tabung Haji.
Ia merupakan inisiatif berterusan kerajaan di samping Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Tabung Haji yang sedang dilaksanakan demi menjamin kelestarian agensi itu untuk jangka masa panjang serta memenuhi hasrat kerajaan agar Tabung Haji kembali kepada matlamat asal penubuhan. – UTUSAN










