Bahan binaan mahal, 34,000 kontraktor kelas F terbeban - Utusan Malaysia

Bahan binaan mahal, 34,000 kontraktor kelas F terbeban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kira-kira 90 peratus daripada 34,000 kontraktor F di negara ini menanggung kerugian teruk dan mungkin ‘gulung tikar’ jika kerajaan tidak mengambil tindakan membendung kenaikan harga bahan binaan yang naik mendadak ketika ini.

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia), Tukiman Radion berkata, pihaknya menerima keluhan lebih 30,000 kontraktor kecil yang terkesan dengan kenaikan tersebut.

Menurut beliau, kebanyakan kontraktor kelas F memaklumkan mereka terbeban teruk dengan kenaikan bahan binaan yang bukan sahaja mendadak tetapi terlalu tinggi.

“Keadaan ini mengakibatkan tiga hingga empat peratus daripada kontraktor tersebut membuat pilihan berhenti sementara untuk menunggu sehingga harga bahan binaan turun semula.

“Namun, rata-rata kontraktor sedia ada terpaksa terus bergantung kepada projek yang ditawarkan biarpun berdepan beban kos tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, kontraktor di Perlis terus menerima nasib malang apabila bukan sahaja berdepan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua, bahkan harga barang binaan pula naik sehingga mencecah 30 peratus.

Mengulas lanjut, Tukiman berkata, harga pasaran bahan binaan seperti besi mencecah antara RM3,000 sehingga RM3,200 bagi satu tan.

“Harga besi ketika ini meningkat berbanding hanya RM2,500 dan RM2,600 dengan kuantiti sama sebelum ini.

“Selain itu, harga simen seberat 50 kilogram (kg) meningkat sehingga RM2 dan RM3 bagi setiap beg,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tukiman mencadangkan satu badan khas diwujudkan bagi memantau dan mengawal harga bahan binaan yang didakwa mengalami kenaikan mendadak.

Jelasnya, saranan itu perlu bagi memastikan harga siling bahan tersebut dapat ditetapkan sekali gus meringankan beban kontraktor terutama kelas F.

“Kerajaan perlu lebih tegas dalam menangani perkara tersebut yang dikhuatiri turut melibatkan isu perumahan negara kelak.

“Sekiranya berlarutan, kita bimbang lebih banyak projek perumahan tidak terjual dan terbengkalai akibat ketiadaan pembeli atau harga terlalu mahal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×