KUANTAN: Harga barang binaan khususnya besi dijangka terus meningkat sehingga Mac ini dan akan menjadi malapetaka kepada semua kontraktor jika tiada penyelesaian terbaik diambil.
Naib Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) yang juga Pengerusi G1 Malaysia, Abd. Gapar Lambak berkata, trendnya semakin menunjukkan peningkatan yang ketika ini harganya antara RM3,100 hingga RM3,200 satu tan.
“Kenaikannya sudah lebih 30 peratus dan jika berterusan tentunya kontraktor akan rugi dan dijangka antara 60 peratus hingga 70 peratus projek-projek pembinaan akan terbengkalai.
“Ini kerana, harga tender ditawarkan tidak lagi relevan dengan harga bahan binaan semasa. Kebanyakan projek yang sedang dan akan dilaksanakan adalah berpandukan pada harga besi dalam lingkungan antara RM2,200 ke RM2,300 satu tan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan keluhan kontraktor di Perlis ekoran berbulan-bulan terpaksa menghentikan kerja pembinaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu dan kini perlu pula berdepan PKP kali kedua dan harga barang binaan seperti besi yang naik sehingga 30 peratus.
Dilema kontraktor binaan tersebut dirasai sejak November tahun lalu selepas harga barangan asas pembinaan khususnya besi yang semakin mahal dan
berterusan sehingga hari ini.
Abd. Gapar yang juga Yang Dipertua PKMM Pahang berkata, jika kenaikan harga barang binaan itu tidak dibendung segera, akan berlaku hakisan besar terhadap margin pendapatan kontraktor yang menyebabkan mereka mengalami masalah kewangan.
“Situasi itu sama seperti tahun 2008 dan 2009 yang mana harga barang binaan termasuk besi naik secara mendadak, tapi pada waktu itu, kita ada sistem yang disebut variation of price (VOP),” katanya.
Oleh itu katanya, PKMM meminta kerajaan supaya melaksanakan semula kaedah VOP yang dimansuhkan pada 2015.
“Kaedah ini dapat membantu kontraktor untuk menampung sebahagian daripada kos kerugian akibat kenaikan harga bahan binaan,” katanya. – UTUSAN










