PETALING JAYA: Bursa Malaysia Derivatives Clearing Berhad, anak syarikat milik penuh Bursa Malaysia Derivatives Berhad menerima pengiktirafan sebagai Rakan Niaga Pusat Negara Ketiga (TC-CCP) oleh Pihak Berkuasa Sekuriti dan Pasaran Eropah (ESMA).
Pengiktirafan TC-CCP itu telah diberikan kepada Bursa Malaysia Derivatives Clearing pada 7 November lalu di bawah Peraturan Infrastruktur Pasaran Eropah (EMIR).
Dengan itu, Bursa kini mempunyai akses yang lebih besar kepada komuniti pelaburan Eropah manakala rakan niaga Eropah dapat menjalankan perniagaan bersama Bursa Malaysia dengan lebih mudah dan lebih menjimatkan kos.
Pemangku Pengarah Bursa Malaysia Derivatives, Mohd. Saleem Kader Bakas berkata, pengiktirafan tersebut mengesahkan Bursa Malaysia sejajar dengan piawaian antarabangsa, yang akan mencipta peluang baharu dengan Institusi Penjelasan Eropah.
“Kami adalah Bursa ketiga di ASEAN yang diberi pengiktirafan ini, yang menyerlahkan pencapaian Bursa Malaysia.
“Kami amat berterima kasih atas sokongan berterusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sepanjang proses permohonan TC-CCP,” katanya dalam kenyataan.
Di bawah keperluan EMIR, hanya TC-CCP yang diiktiraf dapat menyediakan perkhidmatan penjelasan kepada ahli atau tempat perdagangan yang ditubuhkan di Kesatuan Eropah.
Pengiktirafan itu bermakna peserta pasaran dari Eropah tertakluk kepada keperluan modal dan caj yang lebih rendah di bawah rangka kerja Basel III yang diperkenalkan oleh Jawatankuasa Basel pada Pengawasan Perbankan, yang membolehkan ahli Eropah mengurus risiko rakan niaga mereka dengan cekap. – UTUSAN










