Miskin situasi tambah, populasi golongan berpendapatan rendah - Utusan Malaysia

Miskin situasi tambah, populasi golongan berpendapatan rendah

Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sedih mengenangkan dugaan yang perlu dilalui golongan T20 yang dulu hidup mewah tetapi jatuh ke B40 selepas pandemik Covid-19 dek pelbagai perkara termasuklah kehilangan pekerjaan.

Lebih menyedihkan, ada yang tidak percaya mereka mampu membuat kerja-kerja biasa dan akhirnya terpaksa menganggur atau berniaga sendiri. Hendak harapkan bantuan kerajaan pun memang payah nak dapat untuk golongan ini.

Sehingga hari ini, kesannya masih terasa apabila kategori miskin yang dahulunya dianggarkan sekitar 40 peratus daripada populasi, meningkat 60 peratus.

Ia turut mewujudkan kluster baharu dalam kalangan masyarakat iaitu miskin situasi akibat Covid-19.

Miskin situasi adalah golongan yang tiba-tiba menjadi miskin disebabkan musibah dan dalam konteks ini wabak adalah puncanya.

Sebelum ini mereka mampu berbelanja hasil pendapatan bulanan selain melunaskan bayaran pinjaman bank tetapi kini sudah berubah.

Wujudnya golongan miskin situasi ini turut menjejaskan sistem perdagangan domestik kerana mereka tidak lagi aktif berbelanja untuk menjana ekonomi terutama dalam sektor peruncitan.

Pengarah Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dr. Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail berkata, miskin situasi ini juga memberi kesan emosi yang sangat meruntun jiwa.

“Kesannya termasuk kemurungan dan enggan bersosial. Mangsa cuba mengelak bertemu rakan taulan, sahabat handai hingga timbul konflik dalam keluarga yang dikhuatiri membawa risiko mereka mengambil keputusan di luar jangkaan,” katanya pada sesi pembentangan kajian mengenai Kemiskinan dan Pembangunan B40 pada Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial anjuran Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASSA) di Putrajaya baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Wan Ahmad berkata, bagi menangani keadaan, perlu ada satu badan dan mekanisma dibentuk dengan memberi tumpuan khusus menangani kemiskinan.

“Kerajaan menerusi agensi berkaitan perlu lebih fokus mengenal pasti golongan sasar dengan mewujudkan satu polisi khas pro-kemiskinan.

“Pengurusan bersepadu membabitkan agensi kerajaan, pusat zakat peringkat negeri dan penyertaan badan bukan kerajaan (NGO) diyakini berupaya melancarkan pengurusan mengatasi kemiskinan kesan pandemik ini,” katanya.

Kaedah menguruskan kemiskinan katanya, boleh dilihat menerusi pelaksanaan di China yang mana negara berkenaan berjaya mengurangkan kadar masyarakat hidup melarat kepada 0.5 peratus.

“Negara dengan populasi penduduk paling ramai di dunia, mencatatkan kadar kemiskinan berada pada kadar 88 peratus pada 1980.

“Polisi khas diadakan, menujukkan usaha bersepadu secara berfokus kepada golongan sasar membolehkan kemiskinan dapat diatasi dengan kerjasama semua pihak,” katanya.

‘Usaha atasi kemiskinan, penting’
Sementara itu, Muhyiddin menekankan mengenai pentingnya usaha mengatasi kemiskinan terutama selepas dunia dilanda wabak.

Ramai yang miskin hinggakan keperluan asas seperti mendapatkan pendidikan sempurna juga terjejas.

Katanya, ada kes anak terpaksa berhenti sekolah disebabkan masalah kewangan kerana ketua keluarga hilang punca pendapatan.

“Angka kemiskinan di negara ini meningkat walaupun masih terkawal. Jika kemiskinan sedia ada gagal diatasi, dikhuatiri golongan ini akan terus parah dan menjadi papa sekaligus meluaskan lagi jurang antara golongan kaya dan miskin,” katanya.

Sehingga 30 Jun lalu, data e-kasih melaporkan ketua isi rumah (KIR) dikategorikan sebagai miskin tegar meningkat kepada 145,000 berbanding 45,000 sebelum pandemik.

Dianggarkan sejumlah 600,000 KIR kategori M40 jatuh ke dalam kategori miskin. Data ini menyumbang kepada golongan B40 kepada B60.

“Boleh dikatakan hampir semua pihak menyediakan bantuan, namun didapati masih ada individu atau kelompok tertentu yang tercicir.

“Kerajaan menerusi agensi bertanggungjawab, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan individu perlu lebih proaktif dalam menangani masalah sedia ada. Perhalusi setiap masalah dan uruskan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau turut mencadangkan sistem bersepadu dapat dibangunkan untuk memudah cara proses penyaluran bantuan secara berpusat.

“Penyelarasan semua data, membolehkan penerima yang layak daripada semua agensi disenaraikan dalam satu sistem yang sama. Proses penyaluran bantuan termasuk subsidi dapat diselaras secara telus dan cekap kepada golongan sasar.

“Pelaksanaan agenda pemulihan kemiskinan bersifat menyeluruh ini dapat memastikan tiada golongan terpinggir khususnya masyarakat di pedalaman, orang asal serta peribumi Sabah dan Sarawak. Ia selaras dengan hasrat supaya mereka sama-sama menikmati hasil kemakmuran negara seperti dihasratkan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×