KEPENTINGAN membaca harus dipupuk sejak kecil bagi membolehkan kanak-kanak meneroka kreativiti masing-masing.
Walaupun aliran masa kini banyak menumpukan kepada pada interaksi dalam talian berbanding fizikal, belum terlambat untuk memupuk minat membaca dalam kalangan si cilik. Ia sejajar dengan matlamat Canon Young Readers.
Program dianjurkan jenama pencetakan itu bertujuan menggalakkan tabiat membaca dalam kalangan kanak-kanak sejak usia muda.
Ketua Pegawai Eksekutif, Canon Marketing Malaysia, Andrew Koh berkata, program itu tidak sekadar memupuk tabiat membaca, sebaliknya menggalakkan kanak-kanak berfikir tentang nilai murni menerusi bahan bacaan.
“Dalam program berkenaan, sebanyak 200 buku The Currypuff War of Kampung Asam disumbangkan kepada 10 rumah kebajikan dan komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR), sekitar Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.
Penerbitan buku itu turut melibatkan kerjasama dengan pasangan adik-beradik Lim atau lebih dikenali sebagai Sisters Lim.

Buku The Currypuff War of Kampung Asam hasil karya Sisters Lim yang berbakat itu bertanggungjawab menghasilkan lukisan dan cerita di dalam buku tersebut.
Ia mengisahkan dua orang pak cik yang masing-masing percaya kuih karipap mereka adalah yang terbaik di kampung itu.
Persaingan dilihat menjadi lebih sengit apabila mereka mengambil bahagian dalam pesta makanan di kampung tersebut. Kisah yang ditulis dengan baik dan dihiasi ilustrasi yang menarik itu memberi pengajaran kepada kanak-kanak bahawa kerjasama amat penting dalam mencapai sesuatu matlamat.
Sementara itu, Koh yang juga Presiden Canon berkata, sebagai peneraju global dalam penyelesaian fotografi dan pengimejan digital, pihaknya turut mementingkan kelestarian.
Sehubungan itu, pihaknya turut mengadakan program menanam pokok setiap tahun untuk mengimbangkan jejak karbon.











