‘Saya 45 tahun, saya tahu penghuni mahu apa’ - Utusan Malaysia

‘Saya 45 tahun, saya tahu penghuni mahu apa’

Datuk Dr. Radzi Jidin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UTUSAN: Jauh Datuk terbang dari Ke­tereh ke Putrajaya umpama mahu berhijrah buka buku baharu. Komen Datuk?

Datuk Dr. RADZI JIDIN: Saya merantau 20 tahun. Saya asal di Ketereh dan sekolah hingga Tingkatan 3. Tingkatan 4 saya ke Maktab Tentera Diraja. Dari situ buat persediaan ke luar negara dan sambung pengajian di Melbourne,

Australia. Balik ke Malaysia saya sambung peringkat Sarjana di Universiti Utara Malaysia (UUM). Selepas itu saya ke Australia sambung pengajian PhD dan seterusnya mengajar sebagai Pensyarah Perakaunan di tiga universiti di Australia.

Selepas itu sebelum PRU14 saya balik ke Malaysia. Saya amat memahami kes 1MDB. Saya balik untuk menjelaskan kepada rakyat berkaitan 1MDB sehingga dilantik Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan dari situ saya duduk di Putrajaya sejak 2018.

Saya rapat dengan komuniti Putrajaya, orang masjid, surau, persatuan penduduk, kawasan rukun tetangga, persatuan sukan dan komuniti. Dari situ saya lihat banyak penambahbaikan yang boleh dibuat di Putrajaya untuk menjadikan bandar pentadbiran lebih gemilang.

Banyak perkara boleh buat di Putrajaya. Sebab itu apabila diminta parti bertanding di Putrajaya, sebagai orang Putrajaya, saya ingin memberi khid­mat kepada penduduk Putrajaya berdasarkan pengalaman saya dan pendedahan saya bukan sahaja dalam konteks pentadbiran kerajaan, tetapi peluang untuk menambah baik Putrajaya. Sebab itu kita kata Era Baharu Putrajaya. Kita ingin­ bawa satu era baharu lebih baik.

Dengan imej sebagai Menteri Pendidikan, adakah Datuk yakin ia faktor utama sokongan kepada Datuk?

Secara umum saya ada trek rekod di kementerian. Apatah lagi saya me­mimpin kementerian dua tahun setengah dalam zaman amat sukar. Saya me­ngangkat sumpah Menteri pada 9 Mac 2020 dan 11 Mac masuk pejabat, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac. Ini cabaran amat besar tidak pernah mana-mana Menteri Pendidikan melalui. Namun, di sebalik cabaran ini banyak penambahbaikan yang kita buat termasuk pengambilan guru teramai dalam sejarah. Sebelum ini paling ramai pengambilan 5,000 sahaja. Saya di KPM lebih 16,000 guru diambil.
Pada awalnya ramai orang tak percaya, tapi kita boleh buat.

Apa yang boleh Datuk katakan tentang pencabar Datuk, Ku Nan?

Saya tak nak bercakap pasal orang lain. Saya nak bercakap kekuatan pada diri saya dan kekuatan parti saya.
Insya-Allah dengan sokongan pe­ngundi, walau apa jua keadaan, undi itu menjadi milik kita.

Sejauh mana keyakinan sokongan anak muda?

Dalam konteks itu, kita menghormati pe­ngundi muda. Mereka memahami siapa yang mereka ingin pilih. Saya menawarkan se­suatu yang baharu untuk Putrajaya. Saya berusia 45 tahun, ramai pengundi Putrajaya adalah pengu­ndi muda, sebab itu saya sentiasa dengan mereka. Saya memang duduk sini, bersukan di sini, main bola, basikal, jogging, ini merapatkan hubungan saya dengan komuniti termasuk dalam kalangan anak muda.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×