KOTA KINABALU: Pendaftaran pengundi berusia 18 tahun secara automatik memberi ruang kepada golongan tersebut memilih pemimpin yang boleh membawa perubahan kepada negara.
Mohammad Aidil Hamid, 19, berkata, dia teruja kerana akan mengundi buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Saya melihat pilihan raya kali ini sebagai platform untuk kita memilih siapa pemimpin yang mampu menerajui tampuk pemerintahan negara.
“Saya berharap sesiapa sahaja yang terpilih mampu membawa negara ke landasan sepatutnya,” katanya.
Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort, Insyirah Zahirah Matzin, 19, berkata, menjadi pengundi kali pertama adalah tanggungjawab yang harus dilaksanakan sebaiknya.
“Peluang mengundi ini bukan sesuatu yang mudah bagi pengundi baharu kerana kurang pengetahuan tentang isu negara dan isu politik semasa.
“Justeru, saya berharap pemimpin yang dipilih mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik agar masa depan rakyat terutama generasi muda terbela,” katanya.
Insyirah Zahirah berkata, diharap pengundi muda akan turun beramai-ramai untuk menunaikan tanggungjawab pada 19 November ini.
Sementara itu, Nurhariesya Faiqa Mohammad Don, 19, berkata, walaupun teruja untuk mengundi namun, dia sedikit takut kerana tugas memilih pemimpin itu adalah satu tanggungjawab besar.
Maka, anak muda harus menggunakan kuasa mengundi bagi memilih pemimpin yang berupaya membela nasib rakyat.
Seramai 1.14 juta pengundi muda berusia antara 18 hingga 21 tahun akan mengundi buat kali pertama pada PRU15.- UTUSAN










