BERTAHAN selama 10 tahun sebagai sebuah rancangan hiburan adalah perkara yang perlu dibanggakan, apatah lagi MeleTOP masih mendapat sokongan kuat daripada peminat setia.
Pemilihan hos bagi mengemudi siaran langsung selama sejam pada setiap Selasa juga antara perincian penting yang dititikberatkan bagi memastikan rating tontonan sentiasa meningkat saban minggu.
Justeru, pemilihan Hawa Rizwana Ahmad Redzuan bergandingan dengan Nabil Ahmad bukan sekadar tangkap muat, sebaliknya melalui beberapa kali proses tapisan, saringan untuk memenuhi standard ditetapkan.
Penolong Naib Presiden Gen Next Astro, Razlin Irawati Johar berkata, mereka mengambil masa lebih dua tahun selepas pengunduran Neelofa pada Disember 2019 untuk mencari pengganti yang bersesuaian.
“Kita ada senarai pendek beberapa calon lain dan pemilihan Hawa mengambil kira banyak faktor seperti karakter, pengalaman, pandangan produksi dan keselesaan rakan pengacara, Nabil.
“Pemilihannya tidak dibuat serta-merta, sebaliknya menuntut proses panjang. Paling penting, kita turut mengambil kira maklum balas penonton program ini,” katanya selepas konsert ulang tahun ke-10 MeleTOP di Auditorium MBSA, Shah Alam, baru-baru ini.
Teka-teki mengenai pemilihan hos baharu MeleTOP terjawab sejak 1 November lalu apabila Hawa diperkenalkan sebagai pengacara tetap.
Sejak pengunduran Neelofa, MeleTOP hanya menampilkan hos jemputan pada setiap minggu dan antara selebriti yang pernah digandingkan bersama Nabil ialah Uyaina Arshad, Elly Mazlein serta Sherry Alhadad.
BUKAN BAYANGAN NEELOFA
Ditebak sama ada pemilihan Hawa sengaja untuk mencari wajah pengacara seiras Neelofa, Razlin menafikan aspek tersebut kerana yakin wanita berbakat besar itu mempunyai keunikan tersendiri.
“Neelofa dan Hawa adalah personaliti yang berbeza dan mempunyai keistimewaan bakat tersendiri. MeleTOP ingin mencungkil bakat baharu yang boleh mengendalikan program ini dengan lebih jauh.
“Faktor penyumbang itu sangat subjektif dan kita ada berbincang dengan Hawa mengenai cara mengendalikan MeleTOP,” katanya.
Dalam pada itu, Razlin berkata, MeleTOP bakal tampil dengan konsep baharu yang lebih segar bermula Januari depan.
Dari aspek durasi tontonan, pihaknya masih mengekalkan tempoh sejam dan ia bersesuaian untuk program siaran langsung mingguan.
“Selain hos, kita akan memperkenalkan suntikan teknologi dan studio baharu, penambahbaik segmen serta lebih banyak aktiviti.
“Sepanjang 10 tahun ini, kita kumpulkan semua maklum balas dan sangat mengalu-alukan komentar penonton bagi menambah baik kandungan,” katanya.
DAPAT RESTU AYAH
Hawa yang juga bekas penyampai berita, pengacara dan wartawan penyiaran di TV3 mengakui, selain tawaran lebih lumayan, dia juga ‘dirisik’ menjadi hos jemputan sejak 2018.
Sedar dirinya menjadi rebutan antara dua stesen penyiaran, Hawa bagaimanapun, mengakui kekok mengendalikan MeleTOP, berbanding program berbentuk berita dan lebih serius.
“Dulu, selain menjadi wartawan, saya juga membaca berita. MeleTOP bagi saya adalah benda baharu, namun saya boleh menjadi diri sendiri, pada masa sama membuatkan orang lain gembira.
“Sangat bersyukur apabila diberitahu Nabil juga memilih saya untuk bergandingan dengannya. Saya berharap keserasian antara kami akan tercipta dan dilihat seperti adik dengan abang,” katanya.
Personaliti berusia 27 tahun itu juga mengakui, pada awalnya serba salah untuk bergelut dalam dunia hiburan kerana memikirkan bapanya sangat tegas dengan setiap keputusan yang dilakukan.
Sebagai anak perempuan tunggal, dia dijaga dan dikawal ketat keluarga sejak kecil. Malah, dia perlu memaklumkan jadual kerja harian kepada bapanya supaya pergerakan di dalam pengetahuan keluarga.
“Saya sama sekali tidak menyangka apabila ayah membenarkan saya mengendalikan program MeleTOP. Sebagai anak, saya perlu dapatkan restu ayah. Jadi, saya tanya pandangannya terlebih dahulu.
“Pada satu malam, saya tanya ayah, okey ke kalau buat program MeleTOP? Ayah kata boleh dan itu jawapan saya paling tidak sangka. Alhamdulillah, langkah saya mendapat restu daripadanya,” katanya.











