‘Ingatkan istimewa, rupanya sama sahaja seperti orang lain’ - Utusan Malaysia

‘Ingatkan istimewa, rupanya sama sahaja seperti orang lain’

Aastha Arora.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TARIKH 11 Mei 2000, tepat pukul 5.05 pagi (waktu tempatan) di Hospital Safdarjung, New Delhi, lahirlah seorang bayi yang merupakan ‘rakyat ke satu bilion India’.

Kelahiran bayi yang dinamakan sebagai Aastha Arora itu mendapat liputan pelbagai pihak, menyaksikan para menteri merakam gambar kenangan sambil mendukungnya.

Kelahiran Arora juga menyaksikan India menyertai China yang merupakan satu-satunya negara dengan penghuni lebih satu bilion orang.

Menerusi satu majlis untuk meraikan ‘pencapaian’ tersebut, wakil Yayasan Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu India (UNFPA) Michael Vlassoff menyifatkan Arora sebagai seorang bayi yang istimewa dan unik.

PBB juga melihat kelahirannya sebagai ‘satu panggilan’ mengenai bagaimana untuk mengawal populasi India yang semakin meningkat.

Biarpun ada unsur kebimbangan, kelahiran Arora tetap diraikan dengan meriah, menyaksikan semua media di seluruh dunia menyiarkan ceritanya, malah rumah keluarganya di Najafgarh dipenuhi wartawan yang tertunggu-tunggu untuk perkembangan terbaharu bayi tersebut.

HANYA GAH KETIKA KELAHIRAN
Kini, dua dekad sudah berlalu, usia Arora juga sudah menjangkau 22 tahun.

Gadis genit itu memberitahu, kehidupannya kini sama sahaja seperti rakyat India yang lain dan keistimewaan yang diperolehinya semasa kelahirannya hanyalah ‘sandiwara’.

Secara lantang, Arora memberitahu, semua janji yang dibuat oleh ahli politik semasa kelahirannya adalah sekadar cakap kosong untuk mengaburi mata masyarakat ketika itu.

Bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital swasta, Arora tidak mahu terus mengharapkan janji-janji kosong yang dibuat oleh pelbagai pihak dan meneruskan kehidupannya seperti biasa.

“Saya mahu belajar sains dan menjadi doktor, namun ibu bapa saya tidak mampu untuk mengantar saya pergi ke sekolah swasta.

“Apa yang boleh saya lakukan, sambung pengajian dalam bidang kejururawatan dan itu adalah yang paling hampir dengan kedoktoran,” katanya.

Gadis itu memberitahu, liputan terhadap dirinya dan keluarga berterusan selama beberapa tempoh selepas kelahirannya, termasuk dijemput untuk merasmikan pelancaran laman web yang dimulakan oleh Kementerian Kesihatan India ketika dia hanya berusia 11 bulan.

Selain itu, seminggu selepas ulang tahun kelahirannya yang setahun, Arora dan keluarganya keluar bersiar-siar di bandar Ajmer serta menjadi tumpuan para media.

HANYA TAHU STATUS SELEPAS SEKOLAH
Arora memaklumkan, dia hanya tahu kelahirannya amat istimewa selepas dia mula bersekolah.

“Saya mungkin berusia empat atau lima tahun ketika mendengar ayat ‘bayi ke satu bilion’ pada Hari Populasi PBB, ketika petugas media berasak-asak merakam gambar saya.

“Ketika itu, saya amat suka kerana menjadi tumpuan ramai dan melihat wajah keluar dalam televisyen.

“Selain itu, keluarga saya juga mendapat ‘manfaat’ apabila mereka tidak perlu membayar yuran sekolah kami adik-beradik kerana publisiti percuma yang diberikan oleh media,” ujarnya.

Ketika zaman persekolahan, Arora menjadi seorang pelajar yang bijak dalam akademik dan aktif aktiviti kokurikulum sehinggalah dia berusia 16 tahun.

Ketika itu, keluarganya mengalami masalah kewangan, menyebabkan dia dan adiknya dipindahkan ke sekolah kerajaan, menyebabkan gred peperiksaannya menurun.

Namun, ibunya sering mengingatkan Arora bahawa kesusahan yang mereka alami ketika itu hanya bersifat sementara kerana ‘ramai ahli politik akan membantu mereka’.

Seorang daripadanya adalah Menteri Wanita dan Kanak-Kanak ketika itu, Sumitra Mahajan yang berjanji untuk memberikan Arora pendidikan, rawatan perubatan dan pengangkutan secara percuma.

Keluarga itu juga turut didatangi beberapa ahli Parlimen yang berjanji untuk mendapatkan bapa Arora pekerjaan dalam sektor kerajaan.

Namun, janji hanya tinggal janji, menyaksikan Arora dan keluarganya dibiarkan tanpa sebarang bantuan.

Satu-satunya bantuan yang mereka terima ketika itu adalah dana yang disalurkan oleh UNFPA sebanyak 200,000 rupee (RM11,557) yang digunakan untuk menghantar Arora ke kolej ketika dia berusia 18 tahun, kemudiannya melanjutkan pengajian dalam bidang kejururawatan.

INDIA PERLU KAWAL POPULASI
Dalam pada itu, Arora turut bersetuju bahawa kerajaan India perlu mengambil langkah segera untuk mengawal jumlah populasi di negara itu.

“India perlu melakukan sesuatu bagi mengawal jumlah penduduk yang terlalu ramai, ditambah dengan kepercayaan bahawa anak lelaki adalah lebih bertuah berbanding perempuan.

“Maka, selagi sesebuah keluarga itu belum memperoleh anak lelaki, mereka akan terus melahirkan zuriat dan situasi itu antara penyebab mengapa populasi India terus meningkat,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×