Seorang ibu memiliki kedudukan yang sangat tinggi dan mulia.Pengorbanan dan kasih sayang ibu sangat besar sekali untuk membesar dan melindungi anak-anaknya.
Namun, pada hakikatnya, seorang ibu tidak selalu dapat menemani dan mendampingi anak pada waktu yang lama.
Terkadang perpisahan berlaku akibat kematian, keterbatasan usia hingga membuat akhirnya seorang ibu kandung harus meninggalkan anak dan seorang bapa perlu mencari pendamping baru.
Untuk itu akhirnya seorang anak mendapat ibu baru atau dipanggil ibu tiri.
Minggu ini saya kongsikan kisah Munirah (bukan nama sebenar) ibu tiri malang yang tidak dihargai anak-anak tiri.
Berkongsi cerita, Munirah melayan tiga anak tirinya yang ketika itu berusia lima, tujuh dan 10 tahun seperti zuriat sendiri malah ikhlas mendidik dan membesarkan mereka.
Tanggungjawab itu digalas sepenuhnya oleh Munirah, sejak madunya, Ain (bukan nama sebenar) jatuh sakit hingga menghembuskan nafas terakhir pada penghujung tahun 2000.
Munirah dan Zainal (bukan nama sebenar) berkahwin pada awal tahun 2000, namun tidak dikurniakan cahaya mata.
Berstatus isteri kedua, Munirah dilamar Ain untuk suaminya selepas menyedari dia tidak dapat melaksanakan tanggungjawab sempurna sebagai isteri dan anak-anak.
Munirah yang saya temui baru-baru ini mengakui, tujuan dia berkongsi cerita sekadar mahu memperbetulkan stigma bahawa tidak semua ibu tiri itu jahat dan perampas.
Cerita Munirah, madu merupakan kakak angkatnya ketika di universiti. Hubungan Munirah dan Ain sangat baik dan rapat.
Selepas berkahwin, Ain berpindah ke Kuching, Sarawak mengikut suami yang bertugas sebagai pegawai kerajaan di sana.
Beberapa tahun selepas itu, Munirah tamat belajar dan bertugas sebagai guru di sebuah sekolah rendah di selatan tanahair.
Sehinggalah pada suatu hari dia menerima panggilan daripada Ain dan meminta mereka berjumpa.
Pertemuan diatur. Paling mengejutkan Ain menyatakan hasratnya mahu meminang Munirah bagi pihak suamnya.
Malah kata Ain, antara alasan utamanya kerana dia tidak mungkin hidup lama kerana penyakit kanser yang dihadapi.
Luluh jantung Munirah apabila mendengar pengakuan yang keluar daripada mulut wanita itu.
Munirah mengaambil masa dua minggu untuk memikir dan memberi keputusan.
Selepas mendapat restu kedua ibu bapa, akhirnya Munirah dan Zainal diijabkabul.
Munirah akui, pada awalnya perkahwinan dengan suami bukan atas dasar cinta sebaliknya kerana dia kasihan dan mahu membantu Ain membesarkan anak-anaknya yang masih kecil ketika itu.
Layanan baik Zainal akhirnya membuatkan dia semakin jatuh cinta kepada lelaki itu.
Dalam tempoh mengenali hati budi suami dan anak-anak tiri, keadaan kesihatan Ain semakin merosot.
Dalam tempoh kritikalnya, Ain sering keluar masuk hospital.
Ketika itu Munirah sering menemani Ain secara bergilir-gilir dengan Zainal.
Jika tidak menemani di hospital, Munirah akan ke rumah Ain untuk menjaga dan menguruskan anak-anak mereka.
Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Ain sempat berpesan agar Munirah menjaga suami dan anak-anaknya.
Sejak itu Munirah menjaga sepenuhnya tiga orang anak tirinya yang ketika itu dahagakan kasih sayang seorang ibu.
Suami kadang-kadang sahaja membantu sebab selalu out station memenuhi undangan berceramah.
Ternyata tugas mengasuh dan mendidik anak-anak tiri tidak mudah, sebaliknya sangat mencabar dari hari ke hari.
Suami baik terhadap Munirah. Cuma bila bercerita tentang anak-anak dia tidak boleh menerimanya.
Suami terlalu menyayangi dan memanjakan anak-anaknya.
Keadaan itu berlarutan bertahun-tahun, tetapi Munirah masih bersabar.
Sehinggalah satu hari, kemuncak kesabaran Munirah berakhir apabila anak-anak tiri yang ketika itu sudah dewasa bersuara di depan bapa mereka.
Munirah dituduh perampas sehingga menyebabkan ibu mereka sakit dan meninggal dunia.
Yang paling kecewa, suami hanya berdiam diri sebaik kata-kata itu keluar daripada mulut salah seorang anaknya.
Hancur luluh hati Munirah. Dia tidak sangka, anak-anak tiri yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang, membalasnya dengan sedemikian rupa.
Perisitwa itu membuka mata Munirah. Segala apa kebaikan yang dilakukan selama ini tidak dihargai suami dan anak-anak tirinya.
Akhirnya ikatan perkahwinan Munirah dan Zainal terlerai setelah hampir 20 tahun bersama pada penghujung tahun lalu.
Akui Munirah, dia tidak pernah menyesal berkahwin dengan Zainal.
Pengalaman selama hampir dua dekad di alam perkahwinan banyak mengajar diri untuk menjadi lebih matang dalam kehidupan.
Meski perkahwinannya tidak bertahan lama, bukan bermakna seluruh hidupnya musnah.
Munirah bakal menamatkan perkhidmatannya sebagai guru lebih awal sebelum usianya 60 tahun dua tahun lagi.
Pada usia 58 tahun, tiada apa lagi yang dimahukan melainkan menghabiskan sisa hidup dengan tenang.
Kisah Munirah membuktikan bukan semua ibu tiri jahat.
Namun momokan sebegini cukup sinonim dalam masyarakat, melabelkan seolah-olah tiada ibu tiri yang baik di dunia ini.
Anak-anak mula membayangkan kehadiran ibu baru hanya membuatkan kehidupan mereka sengsara dan kasih sayang bapa akan berubah 360 darjah.
Dalam Islam, walaupun bukan menjadi yang pertama, ibu tiri juga mempunyai beberapa hak yang harus dipenuhi baik oleh suami mahupun anak-anak.
Mereka harus mendapat penghormatan dan layanan yang sama layaknya dengan ibu kandung.
Sebagaimana disebut dalam al Quran: Dan janganlah kami kahwini wanita-wanita yang telah dikahwini oleh ayahmu, terkecuali pada masa yang telah lampu.Sesungguhnya perbuatan itu amat keji dan dibenci Allah dan seburuk-buruk jalan (jalan yang ditempuhi). (An nisa: 22)










