Anak syarikatt PCG buka fasiliti baharu di Belanda

Anak syarikatt PCG buka fasiliti baharu di Belanda

MAJLIS perasmian fasiliti pembuatan bahan tambahan minyak pelincir dan bahan kimia oleh anak syarikat PCG di Echt, Belanda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: BRB International (BRB), anak syarikat milik penuh Petronas Chemicals Group Berhad (PCG), baru-baru ini membuka fasiliti pembuatan bahan tambahan minyak pelincir dan bahan kimia baharu di Echt, Belanda.

Dilengkapi dengan piawaian keselamatan dan kualiti yang lebih tinggi, fasiliti baharu itu akan memberi tumpuan utama kepada pembuatan bahan tambahan minyak pelincir dan bahan kimia (LAC), dan akan beroperasi sebagai pusat LAC untuk pasaran global.

PCG berkata, pembukaan fasiliti itu telah dirasmikan oleh Duta Besar Malaysia ke Netherlands, Datuk Nadzirah Osman. Majlis turut dihadiri oleh Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran Petronas, Datuk Sazali Hamzah dan Pengarah Urusan/ Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof.

Dalam ucapan beliau, Nadzirah memuji langkah PCG untuk meluaskan operasinya di Belanda.

“Pembukaan fasiliti ini adalah sejajar dengan usaha kerajaan Malaysia untuk memperluaskan kehadiran syarikat-syarikat Malaysia di pasaran Eropah melalui lokasi strategik Belanda,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Yusri berkata, pengembangan BRB adalah selari dengan strategi PCG untuk mempelbagaikan portfolio produknya ke dalam derivatif, bahan kimia khusus dan penyelesaian untuk memenuhi permintaan pelanggan yang meningkat dan berubah di rantauan itu.

“Sebagai satu daripada pelan pembangunan BRB, pembukaan fasiliti ini menandakan satu peristiwa penting bagi mengukuhkan kedudukan BRB sebagai pembekal penyelesaian yang inovatif,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif BRB, Ralph Pinckaers pula berkata, unit LAC itu sentiasa mengusahakan penyelesaian untuk pelanggan-pelanggan di bidang automotif, perindustrian dan pembuatan kelengkapan selama lebih 40 tahun.

Katanya, dengan fasiliti baharu itu, perniagaan LAC mempunyai lebih potensi untuk maju dan membangunkan produk baharu.

“Kami yakin langkah ini dapat mempertingkatkan daya persaingan BRB di pasaran akhir. Fasiliti di Echt ini mempraktikkan pengendalian yang lestari dalam pembuatan bahan tambahan minyak BRB, Petrolad®, yang menggunakan tenaga yang lebih rendah di samping mengurangkan jejak karbonnya secara keseluruhan dalam pembuatan produknya.

“Amalan ini akan menyumbang kepada visi kelestarian PCG untuk mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×