Petronas umum penemuan minyak pertama di Sépia, Brazil

Petronas umum penemuan minyak pertama di Sépia, Brazil

PETRONAS umum penemuan hidrokarbon ketiga di Suriname. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Petróleo Brasil Ltda. (PPBL), anak syarikat Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) me­ngumumkan penemuan minyak pertamanya dalam telaga 4-BRSA-1386D-RJS di lapangan minyak Sépia, Brazil.

Lapangan minyak itu terletak di Lembangan Santos yang prolifik, kira-kira 250 kilometer (km) dari pantai Rio de Janerio, pada kedalaman kira-kira 2,000 meter.

Penemuan penting ini dibuat dalam Kawasan Sertaan Bersama Sépia yang meliputi kontrak Pemindahan Hak Sépia (ToR) oleh Petrobras yang memiliki pegangan 100 peratus manakala Kontrak Perkongsian Pengeluaran Lebihan Sepia ToR yang diberikan kepada Petrobras (30 peratus), TotalEnergies (28 peratus), QatarEnergy (21 peratus) dan PBBL (21 peratus), dengan Pré-Sal Petróleo S.A. (PPSA) sebagai pengurus.

PPBL dan rakan kongsi konsortiumnya memenangi Kontrak Perkongsian Pengeluaran Lebihan Sépia ToR semasa Pusingan Pembidaan Lebihan Pemindahan Hak Kedua Brazil yang diadakan di Rio de Janeiro pada 2021.

Naib Presiden Eksplorasi Petronas, Mohd. Redhani Abdul Rahman berkata, pihaknya teruja dengan pe­nemuan ketara di salah satu lemba­ngan paling prolifik di dunia.

“Petronas dan rakan kongsi akan terus bekerjasama rapat, bersama kerajaan tersebut untuk membuka lebih banyak penciptaan nilai dan pencapaian bersama-sama.

“Kami juga akan meneruskan usaha penyahkarbonannya untuk membangunkan dan memanfaatkan lapa­ngan minyak Sépia se­cara mampan, sambil mengukuhkan portfolio kami di negara ini, selaras dengan strategi pertumbuhan global kami,” katanya.

PPBL kini mempunyai ke­pentingan penyertaan dalam Tartaruga Verde (Konsesi BM-C-36) dan Modul III medan laut dalam Espadarte (Konsesi Espadarte) yang terletak di Lembangan Campos, luar pesisir pantai Brazil, dan memegang kepentingan penyertaan dalam tiga blok penerokaan air dalam yang lain di Lembangan Campos (C-M-661, C-M-715 dan C-M-541). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×