Rakyat tenang hadapi darurat, PKP - Utusan Malaysia

Rakyat tenang hadapi darurat, PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM tempoh dua hari pertama minggu ini rakyat dihidangkan dengan dua berita yang sepatutnya menjadikan mereka gusar dan resah.

Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam buah negeri dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di beberapa negeri lain yang diumumkan pada Isnin sudah pasti memberi kesan yang besar kepada kehidupan rakyat.

Kesan daripada pelaksanaan perintah kawalan itu pergerakan sudah tentu terbatas, sumber pendapatan pula akan terjejas, perniagaan tidak dapat beroperasi seperti biasa dan beberapa sektor perniagaan yang bergantung kepada pergerakan orang ramai tentu akan merasai kesannya.

Pengisytiharan darurat sehari selepas itu pula walaupun tidak membabitkan perintah berkurung dan pelaksanaan undang-undang tentera sedikit sebanyak tentu turut memberi kesan emosi kepada rakyat.

Rakyat secara sedar apa yang dilaksanakan kerajaan termasuk mengisytihar darurat itu matlamatnya untuk mengekang penularan wabak Covid-19 yang angka dilihat semakin membimbangkan.

Jika tidak ada langkah drastik diambil, menjelang Mac Malaysia akan mencatatkan 8,000 kes positif harian.

Jika itu berlaku, segala kemudahan kesihatan yang ada di negara ini tidak akan mampu menampung jumlah pesakit dan keadaannya tentu akan menjadi lebih buruk berbanding pelaksanaan semula PKP dan pengisytiharan darurat.

Boleh dikatakan rakyat menerimanya dengan tenang. Kalau lihat di seluruh negara hari ini rakyat menerima keputusan kerajaan itu dengan di negeri-negeri yang dilaksanakan PKP, jalan-jalan raya yang sebelum ini sibuk hari ini lengang kerana ramai yang bekerja dari rumah.

Premis-premis perniagaan, restoran, medan selera, pasar pagi dan sebagainya semuanya akur kepada apa yang diperintahkan oleh kerajaan.

Walaupun ada suara-suara kritikan berbaur hasutan, ia tidak mampu meracun minda rakyat kerana dalam keadaan sekarang kesihatan lebih utama daripada segala-galanya. Rantaian penularan pandemik Covid-19 perlu diputuskan walau dengan apa cara sekalipun.

Diharapkan ketenangan rakyat ini tidak manipulasi oleh mana-mana pihak untuk tujuan kepentingan peribadi atau kelompok.

Kesabaran rakyat berhadapan dengan dugaan yang bertimpa ini perlu dibalas melalui pelaksanaan dasar yang menyeluruh lagi berkesan supaya alasan kerajaan ketika mengisytihar pelaksanaan semula PKP dan darurat benar-benar berhasil mengekang penularan wabak dan bukannya untuk mencapai agenda tertentu.

Rakyat mesti diutamakan.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia