DALAM landskap politik tanah air, Parlimen Permatang Pauh cukup terkenal dan sering menjadi tumpuan disebabkan ia merupakan kerusi turun-temurun keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak hampir 40 tahun lalu.
Namun dalam kalangan penduduk Permatang Pauh, sorotan dan pemerhatian sebegitu bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan ketika kebanyakan aspek kehidupan mereka masih jauh ketinggalan.
Dari segi pembangunan infrastruktur dan projek mega yang boleh dimanfaatkan rakyat misalnya, Permatang Pauh langsung tidak mampu bersaing dengan daerah-daerah berjiran seperti Kepala Batas, Bertam dan sebagainya yang kini semakin berkembang sebagai bandar baharu.
Ini merupakan kerugian kepada penduduk Permatang Pauh kerana tanpa kerancakan pembangunan, ekonomi setempat tidak boleh berkembang.
Lebih malang kepada generasi muda Permatang Pauh yang tidak boleh merancang untuk membina masa depan mereka di kawasan itu kerana tidak mempunyai peluang sepatutnya lalu terpaksa berhijrah atau merantau ke kawasan lain.
Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana limpahan kemajuan dan ekonomi di Permatang Pauh sepatutnya jauh lebih terkehadapan daripada daerah-daerah lain memandangkan Parlimen ini diwakili pemimpin berpengaruh keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk ketika mereka berstatus wakil rakyat Kerajaan Pusat.
Bagaimanapun penduduk Permatang Pauh boleh merubah perkara itu menerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan memberi peluang kepada pemimpin selain daripada keluarga Anwar untuk membela nasib mereka.
Calon Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said misalnya, dilihat antara pemimpin yang bersungguh-sungguh mahu merubah wajah Parlimen Permatang Pauh menjadi daerah yang berkembang maju sekali gus memberi manfaat dari segala segi kepada penduduknya.
Beliau yang lebih dikenali dengan Cikgu Zaidi juga tidak pernah menunjukkan tanda-tanda penat atau berputus asa dalam mendekati penduduk Permatang Pauh meskipun menyedari pengaruh keluarga Anwar terlalu kuat di kawasan itu.
Malah sekali pun tewas pada PRU14 dan kekal sebagai calon ‘underdog’ pada PRU kali ini kerana sekali lagi perlu menentang Nurul Izzah, namun Cikgu Zaidi tidak mengaku kalah dan tetap tampil sebagai pemimpin alternatif kepada pengundi Permatang Pauh.
Pelbagai program turun padang dan menyantuni rakyat juga digerakkan tanpa henti pasukan Cikgu Zaidi dengan sokongan jentera BN di Permatang Pauh dan ia perlu diakui bukan usaha bermusim semata-mata menjelang pilihan raya umum.
Meskipun berstatus pembangkang dan dengan peruntukan serta sumber yang terhad, ia tidak menjadi penghalang kepada Cikgu Zaidi dan jentera BN di Permatang Pauh menyelesaikan sebanyak mungkin isu-isu yang membelenggu rakyat.
Situasi pasti lebih baik sekiranya BN berjaya menguasai Kerajaan Pusat dan Ahli Parlimen Permatang Pauh juga datang daripada kem BN kerana rancangan pembangunan dan bantuan kepada rakyat dapat dilakukan dengan lebih terancang serta tersusun. – UTUSAN










