KUALA LUMPUR: Pengundi-pengundi muda di Setiawangsa rata-rata tidak mempunyai sifat kepartian, malah mereka hanya berharap mendapat seorang wakil rakyat yang boleh menjalankan tugas selain mampu membawa pembaharuan di kawasan itu.
Ada juga yang melihat Setiawangsa mempunyai banyak kekurangan yang perlu diisi kerana ia masih jauh ketinggalan meskipun terletak di dalam bandar.
Seorang pengundi, Eilma Fatehah Mohd. Sabri, 28, berkata, kebanyakan pengundi muda tidak mementingkan parti tetapi melihat siapa yang boleh menjalankan tanggungjawab dengan baik.
“Bagi saya, parti mana itu tidak penting. Yang penting adalah seorang wakil rakyat yang boleh buat kerja dengan jujur dan amanah untuk membela serta membantu rakyat.
“Kawasan Setiawangsa mempunyai banyak masalah infrastruktur. Keadaan jalan di sini kebanyakannya berlubang sekali gus menyusahkan pemandu.
“Selain itu, walaupun mempunyai lebuh raya yang banyak, jalan tetap sesak dan ‘tersumbat’ sehingga melambatkan perjalanan pemandu ke destinasi masing-masing. Apa yang akan dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini?,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Sharil Tarmize, 27, berkata, apa yang dimahukannya adalah seorang wakil rakyat yang boleh membela nasib penduduk.
“Bagi saya, kita terlalu banyak bergantung kepada wakil rakyat sedangkan mereka yang bekerja untuk kita. Mana-mana wakil rakyat yang terpilih sekalipun, saya hanya mahu melihat perubahan. Saya tidak terlalu mengharapkan parti kerana semua sama sahaja.
“Jadi, saya fokus kepada calon dan lihat sama ada mereka boleh buat kerja atau tidak,” katanya.
Kerusi Parlimen Setiawangsa menyaksikan pertarungan enam penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga penyandang; Nurul Fadzilah Kamaludin (Perikatan Nasional), Bibi Sunita Sakandar Khan (Pejuang), Datuk Seri Izudin Ishak (Barisan Nasional), Mior Rosli (Bebas) dan Lim Yen Tiong (Bebas). – UTUSAN











