Undang-undang adalah antara asas kepada setiap sudut kesejahteraan dan pencapaian masyarakat. Ini kerana tiada mana-mana masyarakat yang auto-pilot, yang tidak dikawal. Masyarakat memerlukan pelbagai kawalan termasuk dalam bentuk undang-undang.
Oleh kerana itu, dalam masyarakat demokrasi seperti Malaysia, terdapat badan utama yang membuat undang-undang, iaitu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
Undang-undang boleh menyumbang kepada penyelesaian pertikaian, juga menjadi pelindung kepada keselamatan dan kedaulatan negara. Justeru, fungsi undang-undang yang paling utama ialah membentuk realiti sosial. Realiti sosial bermaksud keadaan masyarakat sebenar yang menjurus kepada kewujudan masyarakat diidamkan.
Dalam hal ini, undang-undang adalah alat untuk membentuk, merangka dan membina hampir semua bidang hubungan antara manusia pada peringkat individu dan institusi serta boleh membentuk masa depan masyarakat dan negara.
Bagi tujuan membuat undang-undang, norma kehidupan Keluarga Malaysia yang mempunyai pengaruh agama dan moral serta identiti atau ideologi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara menjadi asas kepada undang-undang. Ini kerana setiap undang-undang hendaklah berasaskan kepada realiti masyarakat.
Justeru, para penggubal undang-undang hendaklah membuat undang-undang yang boleh membentuk Keluarga Malaysia yang sejahtera, dan pada masa sama dapat menjamin keselamatan serta kedaulatan negara. Justeru, masa depan Keluarga Malaysia juga boleh dipengaruhi oleh undang-undang yang diwujudkan pada masa kini.
Pencapaian pentadbiran kerajaan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam konteks undang-undang adalah amat baik. Ini kerana pihak penggubal undang-undang berjaya meluluskan kira-kira 40 rang undang-undang (RUU) termasuk beberapa undang-undang penting, tiga RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan termasuk bagi membaik pulih hubungan dalam sebuah negara Persekutuan dan banyak pindaan akta.
Walaupun kerajaan mungkin mendapat manfaat daripada memorandum persefahaman (MoU) politik yang dipersetujui dengan Pakatan Harapan (PH), namun kerana keadaan yang begitu dinamik termasuk keadaan kesihatan awam dan politik, kerajaan sebenarnya telah menampilkan kekuatan tersendiri untuk bukan sahaja menggubal undang-undang biasa tetapi berjaya meminda Perlembagaan Persekutuan.
GENERASI PENAMAT
Kejayaan ini menjadi luar biasa kerana seperti kita maklum, ini adalah kerajaan ketiga dan dipersoalkan kepercayaannya pada awal lantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
Kejayaan dalam gubalan undang-undang ini disertai kejayaan mengukuhkan suatu RUU melalui jawatankuasa khas yang dilantik. Perkara ini secara langsung mengukuhkan peranan Parlimen sebagai badan perundangan. Ini adalah satu bentuk pencapaian yang tinggi.
Oleh kerana pelbagai kejayaan atau pencapaian dalam gubalan undang-undang, saya hanya menyebutkan beberapa contoh. Gubalan undang-undang seperti berkaitan gangguan seksual yang telah sekian lama tergantung menunjukkan kejayaan pada kerajaan dan para penggubal undang-undang. Undang-undang ini adalah penting kerana ia melibatkan kebebasan dan maruah diri Keluarga Malaysia.
Bagi hal berkaitan kestabilan politik, kejayaan menggubal undang-undang antitukar parti boleh dianggap satu kejayaan. Walaupun undang-undang ini belum lagi pasti berjaya menghalang perubahan kerajaan pada masa akan datang, namun sekurang-kurangnya ia dapat ‘menyukarkan’ perkara ini untuk berlaku.
Undang-undang berkaitan autoriti berkaitan disiplin pasukan polis juga dapat diluluskan setelah melalui beberapa episod kontroversi pada pengenalan undang-undang itu pada masa kerajaan terdahulu.
RUU Generasi Penamat adalah antara usaha yang mementingkan jaminan kesihatan kepada generasi akan datang. Keterbukaan kerajaan untuk bersetuju merujuk RUU tersebut kepada suatu jawatankuasa khas perlu dipuji dan diambil tauladan.
Antara pencapaian utama Keluarga Malaysia ialah apabila Ismail Sabri mengumumkan terdapat 147 undang-undang yang perlu disemak semula. Perkara ini sebenarnya banyak dibicarakan secara ilmiah oleh para akademik dan amat disedari juga oleh pengamal undang-undang di peringkat Peguam Negara dan juga para peguam.
Segala pencapaian pastinya masih lagi wujudnya harapan. Ini kerana setiap pencapaian tidak semestinya menunjukkan sesuatu perkara itu perlu berhenti. Penambahbaikan kepada pencapaian menjadi harapan. Begitu juga dalam konteks undang-undang. Apa yang penting di sini ialah pencapaian telah dilakukan dan kesinambungan juga perlu dilaksanakan.
Dengan terbubarnya Parlimen pada 10 Oktober lalu, maka beberapa perancangan kerajaan di bawah pimpinan Ismail Sabri untuk membuat pembaharuan dalam bidang undang-undang termasuk memperkenalkan RUU Pendanaan Politik, terhenti seketika.
Begitu juga perancangan untuk memperkasakan Parlimen dengan mengembalikan undang-undang berkaitan pentadbiran dalam bentuk baharu Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 agar Parlimen menjadi lebih bebas terutama dari segi peruntukan dana dan hal berkaitan proses gubalan undang-undang.
Semoga mandat baharu yang dijangka diperoleh selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini akan membolehkan pembaharuan-pembaharuan dalam bidang undang-undang dapat diteruskan dengan lebih intensif dan komprehensif lagi. – UTUSAN
PROFESOR Madya Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz ialah Pensyarah Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











